• Pengangkutan Awam Darat Laluan Ke Arah Peningkatan Produktiviti - Najib

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata agenda pengangkutan darat negara bukan hanya tentang projek infrastruktur mega, oleh kerana, yang lebih penting adalah laluan ke arah peningkatan produktiviti dan keadaan hidup yang lebih baik bagi rakyat Malaysia.

    Perdana menteri menegaskan dalam jangka panjang, sebuah rangkaian pengangkutan awam darat yang boleh dipercayai, bersepadu dan moden akan memacu pertumbuhan sosio ekonomi serta mempertingkatkan kualiti alam sekitar, kesemuanya amat penting bagi kelestarian pembangunan Malaysia.

    "Ini merupakan sebab kami menjadikan transformasi pengangkutan awam sebagai agenda utama dalam perjalanan Program Transformasi Nasional (NTP)," katanya ketika berucap pada Simposium Pengangkutan Awam Darat di sini hari ini.

    Memberi contoh kejayaan MRT Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang, Najib berkata rakyat dapat melihat bagaimana pengangkutan awam darat boleh menjadi pencetus perubahan sebenar dalam mengubah gaya hidup rakyat Malaysia dengan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memberi laluan kepada mobiliti hijau serta pengurangan pelepasan karbon di Greater Kuala Lumpur.

    Beliau berkata projek MRT, bermula daripada konsepsi sehingga kepada penyampaian, adalah suatu keutamaan kepada beliau, dan merupakan projek yang beliau sendiri selia setiap peringkat kemajuannya.

    "Selain daripada hasrat melihat rakyat lebih mudah berulang-alik di bandar raya, saya juga tidak mahu Kuala Lumpur terkenal di peringkat antarabangsa hanya disebabkan masalah lalu lintas berbanding perkara lain, seperti yang berlaku di beberapa bandar raya lain di rantau ini, Kami memerlukan penyelesaian terbaik untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas menuju ke pusat bandar raya.

    "Alhamdulillah, keputusan dan penerimaan MRT Laluan 1 amat memberangsangkan. Kejayaan menyiapkan MRT Laluan 1 membuktikan bahawa kita berupaya menyiapkan satu daripada projek infrastruktur transit aliran massa paling canggih dalam sejarah negara ini," kata Najib.

    Sambil menegaskan bahawa projek itu siap mendahului jadual dengan kos RM2 bilion di bawah anggaran, beliau berkata ini adalah, berdasarkan mana-mana piawaian, merupakan pencapaian cemerlang bagi sesebuah negara.

    "Satu daripada faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan ini adalah kerja keras beribu-ribu orang rakyat Malaysia yang diambil bekerja untuk projek ini dan berjaya menjadikannya suatu kenyataan," kata perdana menteri.

    Beliau berkata kerajaan sedang menimbang untuk mempercepatkan cadangan projek MRT Laluan 3 meliputi kawasan seperti Bandar Malaysia, Mont Kiara, Sentul, Midvalley dan Setiawangsa.

    Najib menyatakan maklumat terkini berhubung inisiatif pengangkutan lain yang dilaksanakan pentadbiran beliau, meliputi perkhidmatan kereta api, bas, teksi dan sebagainya.

    Beliau turut menyentuh tentang projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang semestinya menjana faedah ekonomi bagi kedua-dua negara di samping Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang akan menyerlahkan potensi wilayah kurang membangun di pantai timur Semenanjung Malaysia, yang selama ini kurang diketahui.

    "Menjelang 2027, apabila ECRL, HSR KL-Singapura, Sistem Aliran Deras Johor Bahru-Woodlands (Utara) dan laluan landasan bandar lain disiapkan, perbatuan landasan di seluruh negara akan menghampiri jarak 3,000km, iaitu 65 peratus melebihi rangkaian landasan sekarang, yang merupakan penambahan infrastruktur yang sangat besar," katanya.

    Najib selanjutnya berkata sejak 2012, kerajaan telah melabur RM766 juta di bawah Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti (ISBSF) bagi memastikan penduduk di sepanjang laluan sosial ini terus menikmati kemudahan perkhidmatan bas.

    Sebagai tambahan, kerajaan melabur RM143 juta bagi pengoperasian perkhidmatan myBAS oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Kangar sejak Ogos 2015; di Seremban sejak Januari 2016; dan di Ipoh sejak Jun 2016.

    Sehingga kini, myBAS merekodkan lebih 8.4 juta penumpang (atau purata 324,000 penumpang sebulan di tiga ibu negeri ini). - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pengangkutan Awam Darat Laluan Ke Arah Peningkatan Produktiviti - Najib "