• Penganggur disyaki pengedar syabu ditahan

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+


    SARIKEI: Seorang penganggur ditahan bersama 58 keratan straw pendek yang mengandungi bahan dipercayai dadah jenis syabu dalam satu serbuan di sebuah rumah, di sini, semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei, Deputi Superintendan Zamry Ali berkata, ketika serbuan pada jam 11 pagi lelaki yang disyaki pengedar dan penagih itu sendirian di rumah terbabit.

    Beliau berkata, ujian air kencing terhadap suspek berusia 22 tahun itu juga mendapati dia positif dadah jenis methaphetamin.

    "Serbuan dilakukan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Sarikei. Kita berjaya menahan suspek yang ketika itu bersendirian di rumah terbabit.

    "Pemeriksaan lanjut polis menemui satu beg kecil yang mengandungi 58 keratan straw pendek warna merah jambu jernih berisi ketulan hablur kristal disyaki dadah jenis syabu," katanya.

    Zamry berkata, semua bahan berkenaan seberat 9.36 gram dan berdasarkan pasaran semasa, rampasan itu bernilai RM2, 320.

    "Wang tunai berjumlah RM520 turut dirampas dan barangan rampasan ini akan dijadikan sebagai bahan kes.

    "Kita akan memohon reman selama empat mulai hari ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama.

    "Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua hingga lima tahun dan tiga hingga lima kali sebatan, " katanya.-BHOnline
  • No Comment to " Penganggur disyaki pengedar syabu ditahan "