• Penerjun 13 Tahun Kejutkan Pandalela

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg tetap berpuas hati walaupun gagal merebut pingat emas acara 10m platform wanita yang menjadi milik penerjun muda dari China, Zhang Jiaqi pada Kejohanan Terjun FINA Grand Prix (GP) Kuala Lumpur 2017.

    Pandelela yang meraih pingat perak pada aksi di Pusat Akuatik Nasional dengan kutipan 332.40 mata ketinggalan 77.45 mata di belakang penerjun berusia 13 tahun itu.

    “Ini adalah GP pertama dan pingat GP pertama saya untuk tahun ini. Walaupun kalah kepada penerjun berusia 13 tahun saya tidak sedih kerana dia memang merupakan penerjun ‘bintang’ masa depan. Saya memang kena belajar banyak lagi dan ambil contoh dia.

    Saya lihat penerjun dari China dan Korea Selatan memang menunjukkan prestasi baik hari ini dan saya jangka mereka akan beri saingan lebih sengit di Sukan Asia nanti,” katanya kepada media selepas membuat terjunan.

    Pingat gangsa acara itu menjadi milik Kim Suji dari Korea Selatan selepas mengumpul 293.10 mata.

    Pandelela turut menegaskan bahawa prestasinya lebih bagus berbanding aksi di Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 pada Ogos lepas.
    Beliau akan beraksi bersama Leong Mun Yee sebagai pengganti Cheong Jun Hoong yang masih cedera dalam acara 10m platform seirama pada Ahad ini.

    Sementara itu, Zhang yang baharu sahaja menyertai skuad kebangsaan China sejak enam bulan lepas berkata tahun ini merupakan kali pertama beliau turut serta dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.

    Beliau yang mengalahkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Ren Qian pada Kejohanan Terjun Kebangsaan China ke-13 dalam acara 10m platform itu berkata beliau tidak mahu berfikir jauh sebaliknya mahu bermula dari bawah terlebih dahulu.

    “Saya tidak mahu fikir terlalu jauh seperti pingat Sukan Olimpik ataupun Piala Dunia lagi,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Penerjun 13 Tahun Kejutkan Pandalela "