• Penduduk Long Leng Kini Nikmati Kemudahan Elektrik 24 Jam

    Published: Thursday, 19 October 2017
    A- A+

    MIRI: Penduduk rumah panjang di Long Leng, Layun kini menikmati kemudahan elektrik menggunakan tenaga solar yang dibekalkan kerajaan menerusi Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (SARES).

    Menteri Muda Utiliti, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sistem solar tersebut memberi kesan yang baik kepada pengguna selain boleh digunakan 24 jam dan tiada bunyi bising seperti set jana kuasa.

    "Sekarang penduduk di rumah panjang Long Leng dapat menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan sekaligus memberi manfaat kepada anak cucu terutama dalam aspek pembelajaran," katanya.

    Menurutnya, penduduk di kawasan tersebut juga dapat meningkatan pendapatan dengan adanya kemudahan elektrik terutama dalam menggendalikan homestay.

    "Ini kerana Kampung Long Leng berpotensi dalam bidang pelancongan kerana mempunyai destinasi menarik dan kepelbagaian produk kraftanagan," ujarnya.

    Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai mengingatkan penduduk kampung tersebut supaya memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan.

    "Adalah menjadi tanggungjawab penduduk untuk menjaga aset ini (kemudahan elektrik) seperti menjaga barangan sendiri," ujarnya.

    Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan masyarakat Penan di Long Leng yang gigih berusaha meningkatkan kesejahteraan keluarga dengan mengamalkan hidup penuh harmoni.

    "Kerajaan juga sedang berusaha membangunkan sistem digital di seluruh negeri. Usaha ini turut merangkumi Long Leng bagi memudahkan masyarakat di sini berhubung dengan dunia luar," jelasnya.

    Semasa kunjungan tersebut, Dr Abdul Rahman turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 untuk membantu pembinaan gereja.

    Rumah panjang di Long Leng yang mempunyai 41 pintu didiami 164 orang dari pelbagai peringakt umur.-Sarawakiana
  • No Comment to " Penduduk Long Leng Kini Nikmati Kemudahan Elektrik 24 Jam "