• Penderma Organ Rendah, Jumlah Pesakit Tinggi

    Published: Saturday, 28 October 2017
    A- A+


    KOTA BHARU – Jumlah pengikrar pendermaan organ di negara ini jauh masih rendah iaitu hanya 1.2 peratus atau 397,476 orang daripada keseluruhan hampir 32 juta rakyat Malaysia.

    Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan Tan Sri Lee Lam Thye berkata jumlah itu perlu dipertingkatkan berikutan jumlah pesakit yang sedang menunggu untuk mendapatkan organ hingga September tahun ini adalah seramai 21,973 orang.

    “Walaupun terdapat peningkatan jumlah pengikrar setiap tahun namun bilangannya masih terlalu rendah berbanding negara lain.

    “Sebagai contoh di Sepanyol 39.7 peratus pendermaan bagi sejuta penduduk, Australia 18.3 peratus, Arab Saudi 2.9 peratus dan Korea Selatan 10 peratus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Roadshow Pendermaan Organ Negeri Kelantan di sini, hari ini.

    Program itu dijayakan dengan kerjasama pasar raya Mydin Kubang Kerian, Transplan Organ Procurement Team (Topteam) dan Pasukan Promosi Derma Organ (Proteam) bagi memberi kesedaran pendermaan organ selain mengajak masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

    Lee berkata antara halangan utama kurangnya minat untuk menderma organ adalah kerana ramai beranggpan perbuatan itu dilarang agama, jenazah akan menjadi cacat selain perasaan takut yang membelenggu masyarakat.

    “Saya menyeru orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang benar mengenai pendermaan organ agar salah tanggapan itu dapat dilunturkan sekali gus membantu pesakit meneruskan kehidupan,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya akan terus menggandakan usaha meningkatkan kesedaran pentingnya menderma organ dalam kalangan masyarakat dengan bantuan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan syarikat swasta.

    Malah jabatan agama akan turut membantu termasuk memberi kefahaman melalui kuliah dan khutbah Jumaat.

    “Dengan kerjasama semua pihak ini, kita jangka jumlah pengikrar akan meningkat kepada dua peratus menjelang akhir tahun hadapan,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Penderma Organ Rendah, Jumlah Pesakit Tinggi "