• Pendapatan Negara Dijangka Meningkat

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+


    JUMLAH pendapatan negara tahun ini dijangka meningkat, berbanding tahun lalu setelah harga minyak mentah di pasaran dunia mencatatkan kenaikan.

    Ketua Khidmat Rundingan Cukai dan Kewangan Great Vision Advisory Group, Datuk Chua Tia Guan menjelaskan, dalam pembentangan bajet tahun lalu, kerajaan menjangkakan harga minyak mentah dunia tahun ini adalah AS$45 setong, namun harganya kini telah naik antara AS$55-AS$58 setong.

    "Jika berdasarkan kadar kenaikan AS$1 setong, pendapatan negara bertambah sebanyak RM300 juta.

    "Dengan kata lain, kerajaan telah memperoleh pendapatan tambahan dan ia membuktikan ekonomi negara telah semakin pulih," kata Tia Guan kepada China Press.

    Beliau berkata, yang lebih menarik lagi ialah kadar pertumbuhan negara telah mencapai lima peratus, melebihi kadar jangkaan sebelum ini.

    "Selain itu, kutipan cukai yang meningkat turut mendorong kerajaan memperoleh pendapatan tambahan. Apa yang saya fahami, jumlah peniaga mendaftar di bawah cukai barang dan perkhidmatan (GST) telah melebihi 450,000 orang.

    "Adalah dijangkakan, jumlah kutipan GST akan bertambah daripada RM42 bilion tahun ini kepada RM45 bilion pada tahun depan," kata pakar ekonomi ini lagi.

    Menurutnya, dengan dipengaruhi pelbagai faktor memberangsangkan, kedudukan ekonomi negara kini berada di landasan yang baik.

    "Diharapkan kerajaan menyalurkan peruntukan secara bijak, bukan sahaja boleh membawa faedah kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga kepada pembangunan negara," katanya.

    Pembangkang miliki harapan cerah

    Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melengah-lengahkan tarikh pembubaran Parlimen telah memberikan banyak masa kepada pembangkang untuk memperkemaskan jentera persiapan menghadapi PRU14.

    Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, Najib telah terlepas banyak peluang keemasan untuk membubarkan Parlimen ketika Pakatan Harapan masih belum dalam keadaan bersiap sedia.

    "Selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim melupakan perselisihan faham mereka untuk sama-sama mengukuhkan Harapan, saya yakin Harapan mempunyai peluang cerah menawan Putrajaya," kata Kok Wai seperti disiarkan dalam China Press.

    Beliau berkata, rakyat sudah lama tidak puas hati dengan kerajaan di bawah pimpinan Najib, lebih-lebih lagi keadaan ekonomi negara yang semakin hari semakin teruk.

    "Rakyat begitu harapkan perubahan besar dengan pembentukan sebuah kerajaan yang baharu menggantikan BN," katanya.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong pula memberitahu, pakatan pembangkang mempunyai peluang cerah menggantikan BN sebagai kerajaan yang baharu sekiranya berlaku tsunami Melayu pada PRU14.

    "Selagi sokongan diberikan pengundi Cina sama seperti PRU lalu, dan ditambah sokongan pengundi Melayu yang inginkan perubahan besar, saya percaya Harapan mampu tumbangkan BN," katanya.

    Banyak batasan boleh menakutkan pelabur

    Dengan menetapkan terlalu banyak batasan dan sekatan, hanya boleh menjejaskan imej Malaysia di mata antarabangsa.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, selain kementeriannya, Kementerian Pelancongan juga sering melakukan kerja-kerja promosi di negara asing bagi menarik lebih ramai pelancong dan pelabur datang ke negara ini.

    "Tetapi sekiranya berlaku berita-berita negatif membabitkan negara kita, sudah tentu usaha dilakukan kedua-dua kementerian ini akan jadi sia-sia sahaja.

    "Begitu juga usaha dilakukan untuk menarik pelabur asing datang menanam modal di negara kita, tetapi apabila dikenakan pelbagai batasan dan sekatan tidak sepatutnya, sudah tentu akan menjejaskan hasrat mereka menjalankan perniagaan di Malaysia," katanya seperti dipetik dalam Sin Chew Daily.

    Menurutnya, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi ada pihak-pihak tertentu sengaja memperbesar-besarkan isu sehingga menjadi isu sensitif.

    Sementara itu, mengenai Bajet 2018, beliau meramalkan bajet kali ini adalah bajet yang akan membawa khabar gembira kepada semua orang.

    - Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Pendapatan Negara Dijangka Meningkat "