• Pencuci Kereta Dituduh Cabul, Laku Seks Luar Tabii

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+

    AYER KEROH: Seorang pencuci kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan seks luar tabii dan mencabul seorang wanita, pertengahan bulan lalu.

    Tertuduh, Abdul Rauf Singaravelu, 28, dari Parit Jawa, Muar, Johor membuat pengakuan itu sebaik dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Norma Ismail.

    Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita berusia 40 tahun, di antara jam 11.30 malam hingga jam 1 pagi di sebuah rumah di Taman Bukit Melaka, di sini, pada 18 September lalu.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa pada masa, alamat dan tarikh yang sama.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

    Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban, memohon tiada jaminan diberikan kepada tertuduh atas faktor keselamatan serta dikhuatiri mengganggu mangsa sebagai saksi utama.

    Shazreen Nadia turut memohon tarikh sebutan semula kes diselaraskan mengikut pertuduhan yang dihadapi tertuduh sebelum ini di bawah Seksyen 377(CA) dan 323 Kanun Keseksaan masing-masing, iaitu atas kesalahan melakukan seks menggunakan objek ke dalam kemaluan mangsa serta mencederakan mangsa sama pada 28 September lalu.

    Suspek yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan diberikan dengan alasan perlu menjaga anaknya yang masih kecil, selain menanggung ahli keluarga lain, termasuk adik dan kakak.

    Norma bagaimanapun tidak membenarkan jaminan serta menetapkan 22 dan 23 Februari tahun depan untuk perbicaraan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pencuci Kereta Dituduh Cabul, Laku Seks Luar Tabii "