• Pencarian MH370 Diteruskan Jika Ada Bukti Kukuh

    Published: Friday, 6 October 2017
    A- A+


    BENTONG: Malaysia akan mempertimbangkan tawaran da­ri­pada beberapa syarikat yang mempunyai kepakaran dalam operasi pencarian untuk meneruskan operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang kehilangannya masih menjadi misteri selepas gagal menemukan sebarang bukti sehingga kini.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, walau bagaimanapun, operasi ber­kenaan hanya akan diteruskan selepas mendapat bukti yang kukuh daripada mana-mana pihak.

    “Pasukan mencari pun tidak dapat memberi kata putus dari segi tempat sebenarnya kapal terbang atau bangkai kapal terbang itu. Jadi, kita tidak ada pilihan dan pada masa ini kita tidak dapat meneruskan pencarian.

    “Kita telah mendapat tawaran daripada beberapa syarikat untuk meneruskan misi pencarian tetapi belum membuat apa-apa keputusan ke­rana menunggu sekiranya terdapat bukti yang mempunyai kredi­bi­li­ti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Santai Ria Felda Lurah Bilut di Dewan Felda Lurah Bilut di sini, malam tadi.

    Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Pihak Berkuasa Australia memohon maaf kerana gagal mene­mukan pesawat MH370 malah menegaskan misteri kehilangan pesawat berkenaan yang tiada penghujung itu tidak boleh di­terima.

    Melalui laporan akhir tentang kegagalan pencarian pesawat tersebut, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) memaklumkan punca kehilangan pesawat itu tidak boleh dibuktikan sehingga pesawat di­temukan.

    Australia yang me­ngetuai pencarian pesawat itu di Lautan Hindi menamatkan pencarian bernilai AS$160 juta (RM677 juta) pada Januari lalu selepas gagal menemukan sebarang kesan

    Tiong Lai memberitahu, pi­haknya akan menganalisis sebaik mungkin semua data yang ada untuk membuat keputusan sama ada meneruskan operasi penca­rian atau sebaliknya.

    Apa yang pasti, kata beliau, misi pencarian hanya akan diteruskan apabila pihaknya mendapat bukti yang berkredibiliti tentang pesawat berkenaan.- Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Pencarian MH370 Diteruskan Jika Ada Bukti Kukuh "