• Pencapaian konsisten boleh bawa Hafizh ke MotoGP: Razlan

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pencapaian konsisten pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia mendorong Litar Antarabangsa Sepang (SIC) lebih serius merancang masa depan pelumba berbakat itu termasuk merealisasikan impian meletakkannya di kelas perdana, MotoGP pada 2019.

    Malah Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, perbincangan awal sudah pun dilakukan bersama beberapa pasukan MotoGP sepanjang GP Malaysia minggu lalu.

    Hafizh sebelum ini sah akan menyertai pasukan baharu, PETRONAS Sprinta Racing pada musim depan hasil kerjasama syarikat gergasi itu dengan SIC sekali gus kekal beraksi di Moto2.

    Namun Razlan dilaporkan berkata, Hafizh diletakkan sasaran tinggi untuk menamatkan saingan musim depan di kelompok lima terbaik sekali gus membuka peluang kepadanya untuk mencipta sejarah muncul pelumba pertama negara beraksi di MotoGP pada 2019.

    "Sudah semestinya untuk memenuhi sasaran lima pelumba terbaik itu dia perlu menaiki beberapa podium. Sebenarnya untuk minggu ini saya sudah pun berbincang dengan pasukan MotoGP untuk perancangan 2019. Kita perlu membuat perbincangan awal bersama pihak Dorna (pemegang hak penganjuran MotoGP) dan dua tiga pasukan MotoGP.

    "Bagi 2019, ada ruang untuk pendaftaran pasukan baharu di MotoGP. Semua usaha ini adalah bagi menunjukkan minat kita terlebih dulu.

    "Saya percaya segala perancangan dilakukan untuk Hafizh ketika ini akan mendorongnya meraih keputusan terbaik pada tahun depan," katanya.

    Pada GP Malaysia semalam, Hafizh berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam sekali gus menghampiri pencapaian tahun lalu yang menyaksikannya menduduki tempat kelima.

    Hafizh yang beraksi bersama PETRONAS Raceline Malaysia ketika ini juga pernah menaiki podium ketiga ketika beraksi menerusi tiket 'wild card' pada 2012.

    Razlan juga memuji pencapaian seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin yang beraksi bersama SIC Racing Team dalam kategori Moto3 apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-11 selepas satu ketika berpeluang meraih podium.

    "Selepas terjatuh ketika berada di kedudukan keempat dia meneruskan perlumbaan semula dan menamatkan saingan di kedudukan ke-11.

    "Adam menunjukkan sifat yang matang dan selepas ini mungkin dia perlu bersabar sedikit. Niatnya untuk menaiki podium di sini sangat kuat," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Pencapaian konsisten boleh bawa Hafizh ke MotoGP: Razlan "