• Pemimpin Hebat Perlu Mempunyai Pemikiran Luar Biasa

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+


    SEORANG pemimpin yang hebat perlu mempunyai sebuah pemikiran yang luar biasa dalam memastikan segala aspek sama ada pentadbiran dan pengurusan dapat dicapai melalui dasar-dasar yang efektif dan berkesan. Kemampuan ini yang akan membawa sebuah negara untuk terus mengekalkan kelangsungan dan kedinamikan yang berlaku di sekeliling yang mencabar daya kekuatan pemimpin tersebut.

    Menerusi beberapa usaha transformasi yang dijalankan secara berterusan, Najib Tun Razak kini meletakkan Malaysia pada satu landasan yang baharu dalam memastikan Malaysia terus kekal dan relevan dalam pentas dunia.


    Kejayaan lawatan beliau ke Amerika Syarikat, membuktikan bahawa pemikiran beliau kini mulai diterima oleh pentadbiran baru Amerika Syarikat di bawah Presiden Donald Trump. Kesungguhan Najib Tun Razak membawa usaha-usaha transformasi di bawah beberapa pendekatan dilihat sebagai satu bentuk pemikiran luar biasa seorang pemimpin yang sedang berusaha memastikan Malaysia terus disegani.

    Malah usaha ini juga pernah dilakukan secara bijak semasa pentadbiran bekas Presiden Amerika iaitu Barack Obama. Tidak perlu dinafikan bahawa hubungan diplomatik ini berjaya kerana kesungguhan Najib Tun Razak dalam memastikan kerjasama sama ada di peringkat antarabangsa mahupun domestik akan memberikan peluang bukan sahaja untuk beliau sebagai pemimpin tetapi untuk semua rakyat Malaysia secara keseluruhan.

    Sejarah membuktikan bahawa seorang pemimpin yang hebat bukan sahaja lahir dari satu keadaan dan situasi yang mencabar. Ia lahir dari satu kondisi di mana pemimpin tersebut berhadapan dengan konflik yang besar. Konflik ini akan menjadi penanda aras atau kayu ukur kemampuan mereka bukan sahaja sebagai satu bentuk ujian tetapi satu bentuk pengesahan daripada masyarakat itu sendiri.

    Kemampuan fikiran luar biasa ini yang mencorakkan ketahanan politik yang tinggi yang ada pada diri Najib Tun Razak. Selama lebih daripada 30 tahun dalam dunia politik, Najib Tun Razak bukan sahaja mengisi kelompongan yang ada dalam masyarakat, tetapi mereka bentuk Malaysia dalam satu landskap yang baru melalui usaha transformasi beliau dalam pelbagai sektor seperti sektor pengangkutan, perumahan, industri, sukan, perdagangan, keusahawanan, kebajikan, ketenteraan, kesihatan, pentadbiran, pendidikan, kemahiran dan banyak lagi.

    Cuma yang menjadi perbezaan ketara adalah semua ini dilaksanakan dalam tempoh masa yang singkat. Mentransformasikan pelbagai sektor dalam masa yang singkat ini bukan sahaja mencerminkan tahap keberkesanan yang tinggi tetapi membuktikan bahawa ia memerlukan satu bentuk pemikiran yang baharu yang diwarisi secara legasi dan transformasi luar biasa.

    Kebijaksanaan dalam memastikan beberapa konflik yang pernah berlaku sebelum ini juga membuktikan bahawa ketahanan politik yang ada pada diri beliau memberikan kekuatan kepada Najib Tun Razak dalam merencanakan dan membuat keputusan yang amat luar biasa dalam memastikan bukan sahaja keselamatan Malaysia terjamin tetapi keselamatan minda rakyat Malaysia dari dibebani dengan konflik antarabangsa dapat ditenangkan dalam keadaan yang strategik dan luar biasa.

    Meneruskan legasi sebelum ini, usaha Tun Razak sebelum ini diberikan definisi semula dalam bentuk pemikiran transformasi yang sedang dihayati oleh rakyat Malaysia secara tidak langsung. Najib Tun Razak memberikan nafas baru kepada segala usaha-usaha pemimpin sebelum beliau dalam memastikan legasi dan transformasi Malaysia dapat direalisasikan oleh beliau melalui pemikiran luar biasa beliau.

    Masyarakat walaupun mempunyai persepsi tersendiri dalam melihat segala usaha yang Najib Tun Razak sedang usahakan ia merupakan satu manifestasi yang perlu diakui dan dinikmati oleh kita pada hari ini. Cabaran itu sememangnya wujud dalam memastikan pemikiran ini dapat diterima secara keseluruhan.

    Perkara yang amat penting perlu kita sebagai rakyat Malaysia adalah ada kalanya kita perlu melupakan masa silam bagi memastikan masa hadapan kita akan datang dapat dipenuhi melalui pelan transformasi pemikiran Najib Tun Razak dalam memastikan Transformasi Nasional 2050 dapat dicapai secara total. Sekiranya kita masih lagi mempunyai perasaan gagal dalam melepaskan masa silam, masa hadapan tidak boleh diubah kerana ia semestinya akan mengganggu garis masa yang direncanakan. -Sinarharian

    SUHAIMEE SAAHAR @ SAABAR

    Pensyarah Kanan

    Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media Dan Komunikasi

    UiTM Shah Alam

    Subjects:

  • No Comment to " Pemimpin Hebat Perlu Mempunyai Pemikiran Luar Biasa "