• Pemilik Premis Judi Jana RM16 Juta Sehari

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Seorang pemilik rangkaian perjudian menjana pendapatan sehingga RM16 juta sehari dan berselindung dengan rangkaian restoran bagi mengubah wang haram.

    Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, individu yang dikenali sebagai Alex itu mempunyai pendapatan yang terlalu banyak hinggakan dia mudah ‘membeli’ pe­ngu­at kuasa dan membayar orang ‘besar’ yang me­lindunginya da­ripada sebarang tindakan undang-undang.

    “Bagi mengaburi tindakan perniagaan, Alex turut menjalankan perniagaan restoran mewah terutamanya di sekitar Bukit Bintang sebagai salah satu tempat mencuci duit tersebut agar ti­dak dihidu pihak berkuasa.

    “Nilai RM10 juta hingga RM15 juta rasuah yang diberi kepada penguat kuasa sebulan bukanlah satu nilai besar jika dibandingkan pendapatan harian lebih-lebih lagi mereka turut dilindungi pegawai ‘besar’ dalam agensi penguatkuasaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Semalam, Mingguan Malaysia mendedahkan taktik sindiket perjudian bernaung di bawah mereka yang bergelar Tan Sri dan Datuk Seri serta memberi rasuah kepada agensi penguat kuasa RM15 juta sebulan bagi melindungi perniagaan mereka.

    Dalam pada itu, Nadzim berkata, nafas baharu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) mampu memberi kekuatan kepada agensi tersebut dalam melaksanakan amanah untuk menumpaskan mereka yang merosakkan rakyat dan negara dengan pelbagai perniagaan yang tidak bermoral.

    “Jika pihak polis mahukan khid­mat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan pengguna, kami akan berikan kerjasama menjadi mata dan telinga polis agar masalah ini dapat diselesaikan,” katanya.

    Sementara itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwan­ddin Hamzah berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu menyiasat syarikat yang perniagaannya dilihat tidak mendapat sambutan pelanggan tetapi berupaya menjana pendapatan jutaan ringgit setiap bulan.

    Menurutnya, terdapat perniagaan syarikat pinjaman berlesen, kedai telefon, restoran, perabot dan sebagainya yang ditubuhkan untuk mencuci wang haram daripada bisnes perjudian bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

    Tambahnya, LHDN perlu me­ngambil langkah proaktif dalam mengesan dari mana dana tersebut datang dan mendedahkan dalang di sebalik perniagaan itu yang berkaitan dengan premis perjudian dan pinjaman berlesen di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

    Dalam pada itu, Azwan­ddin berkata, penglibatan pihak yang bergelar Tan Sri dan Datuk Seri jelas menunjukkan perniagaan tersebut mempunyai perancangan teratur dan berjaya membentuk satu kumpulan kartel dalam menjalankan perniagaan judi haram.

    “Perkara ini berulang kali didedahkan NGO tetapi bagaikan ada kekebalan yang melindungi sindiket judi daripada disentuh pihak berkuasa untuk diambil sebarang tindakan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Pemilik Premis Judi Jana RM16 Juta Sehari "