• Pemilik 'Car Wash' Ditahan Ketika Khayal

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    Pemilik kedai cuci kereta antara empat ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda di Kampung Padang Buluh, di Sungai Petani, semalam.

    Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Shamshuri Yusoff berkata, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan di rumahnya ketika dalam keadaan khayal akibat dadah.

    "Ibu bapa lelaki ini dikatakan sudah lama bercerai dan dia tinggal di sebuah rumah yang tidak terurus manakala ibu dan adik perempuannya tinggal di rumah berasingan yang terletak di belakang rumahnya.

    "Hasil siasatan awal mendapati pemuda terbabit bukan sahaja membelanjakan wang hasil cucian kereta untuk membeli dadah malah melakukan kegiatan berjudi dalam talian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Shamshuri berkata, dalam operasi bermula sekitar jam 10.30 pagi dan berakhir jam 2 petang tadi yang disertai lima anggota penguat kuasa AADK Daerah Kuala Muda, pihaknya turut menahan tiga individu lain di Kampung Serukam dan Kampung Kuala Sapi.

    Beliau berkata, operasi dijalankan berdasarkan aduan awam yang bimbang masalah kecurian yang berlaku di kawasan berkenaan.

    Katanya, semua yang ditahan berusia antara 24 hingga 32 tahun dan kebanyakannya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

    "Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua mereka positif heroin dan methamphetamine.

    "Mereka akan direman di Lokap AADK Daerah Kuala Muda sementara menunggu keputusan urin daripada patologi hospital," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pemilik 'Car Wash' Ditahan Ketika Khayal "