• Pemikir Dayak Bimbang Ramai Belum Daftar Sebagai Pengundi

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+
    Gambar Hiasan
    KUCHING: Kumpulan Pemikir Dayak (DTTG) Kuching menyuarakan rasa bimbang bahawa sejumlah besar pengundi yang layak menggundi di negara ini masih belum mendaftar sebagai pengundi.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurut Pengerusi DTTG Kuching Sybestine Gambong, jumlah pengundi layak berumur 21 tahun ke atas yang masih belum mendaftar adalah seramai 4, 189,754 orang.

    Katanya, daripada 4,189,754 yang belum mendaftar ini, seramai 302,391 daripadanya merupakan Bumiputera Sarawak atau mewakil 7.2 peratus daripada jumlah itu.

    “Melihat kepada statistik ini, DTTG Kuching mencadangkan beberapa cadangan untuk mempercepatkan proses pendaftaran pengundi 21 tahun ke atas,” ujarnya.

    Beliau mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mengakses data dan maklumat penduduk daripada pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

    Senarai pendek penduduk yang layak mengundi akan diserahkan kepada SPR dan secara automatik didaftar sebagai pengundi.

    “Bagi menarik rakyat untuk mendaftar sebagai pengundi, pihak yang berwajib juga perlu memberi penerangan akan kewajipan sebagai pengundi.

    “Golongan sasaran yang belum mendaftar sebagai pengundi ini dianggap sebagai pelapis atau aset kepada mana-mana parti politik yang mampu mencungkil bakat mereka dalam bidang politik,” katanya.

    Justeru, tambahnya lagi, usaha perlu diambil untuk menarik minat golongan sasaran ini untuk mendaftar sebagai pengundi dan menjalankan tugas mereka sebagai rakyat.

    Sybestine turut mencadangkan kepada SPR supaya memperkenalkan kaedah baharu yang lebih mudah untuk pengundi terutama mereka yang bekerja di luar kawasan mengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

    “Salah satu sebab mengapa pengundi tidak keluar mengundi adalah disebabkan tempat bekerja yang jauh dari tempat mengundi misalnya pengundi Sarawak yang bekerja di Semenanjung Malaysia dan begitu juga sebaliknya,” jelasnya.

    Oleh itu, katanya, SPR perlu memperkenalkan satu kaedah baharu untuk memudahkan rakyat keluar mengundi tanpa perlu menanggung kos perbelanjaan pengangkutan ketika keluar mengundi. – Sarawakiana
  • No Comment to " Pemikir Dayak Bimbang Ramai Belum Daftar Sebagai Pengundi "