• Pemergian ‘Iron Lady Kehilangan Besar Kepada UMNO

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Datuk Dr Maznah Hamid satu kehilangan yang besar buat UMNO, khususnya Pergerakan Wanita UMNO.

    Menurut beliau, Allahyarham yang juga Exco Wanita UMNO banyak memberikan sumbangan bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat nasional.

    “Kita merasakan Allahyarham adalah seorang pakar motivasi yang memberikan semangat bukan sahaja kepada anak-anak muda dan para usahawan, malah kepada mereka yang menjadi pemangkin kepada satu gerakan kesedaran baharu yang dibawanya.

    “Saya mengenali Allahyarham ketika saya masih bekerja di Permodalan Nasional Berhad (PNB). Ketika itu Allahyarham adalah pakar motivasi dan saya amat kagum dengannya,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di sini, malam tadi.

    Maznah, yang mendapat jolokan ‘Iron Lady’ dalam dunia korporat negara, menghembuskan nafas terakhir pada 6 petang tadi di Institut Jantung Negara (IJN) akibat komplikasi jantung susulan pembedahan jantung pada 28 Sept lepas.

    Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd dilaporkan menjalani pembedahan jantung selepas dua saluran pada injap jantungnya tersumbat.

    Turut hadir menziarah jenazah Allahyarham ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed. — BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pemergian ‘Iron Lady Kehilangan Besar Kepada UMNO "