• Pembinaan Semula Jambatan Gantung Satok Penting Untuk Pelancongan

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+

    KUCHING: Pembinaan Semula Jambatan Gantung Satok di sini merupakan projek penting untuk menggantikan jambatan gantung yang lama.

    Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Tun Openg, pembinaan semula jambatan tersebut adalah untuk pengunjung berjalan kaki menyeberangi sungai ke Medan Niaga Satok dan dijadikan sebagai tarikan pelancong kerana nilai sejarahnya.

    “Saya mahu jambatan tersebut menjadi tarikan untuk pusat pelancongan oleh kerana Medan Niaga Satok merupakan salah satu tarikan di bandaraya ini.

    “Maka inilah sebabnya banyak pelancong yang akan berkunjung di sini,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Semula Jambatan Gantung Satok Kuching di Medan NIaga Satok, Kubah Ria, Jalan Matang, Kuching.

    Tambahnya, para pengunjung boleh berjalan kaki sambil melihat keindahan persekitaran yang ada.

    “Oleh sebab itu saya rasa jambatan tersebut akan menggambarkan kesatuan kita yang begitu erat di negeri ini.

    “Satok akan menjadi penghubung kemesraan di antara masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama," ujarnya.

    Abang Jo memberitahu jambatan tersebut bernilai lebih kurang RM8 juta dan akan menjadi satu tarikan kepada bandaraya Kuching selain 'Golden Bridge'.

    “Jambatan ini juga akan diberi lampu LED seperti 'Golden Bridge' sebagai tarikan di waktu malam.

    “Selain itu, kita juga telah membangunkan kawasan tepi sungai secara berfasa,” jelasnya.

    Justeru, beliau berkata, bandar raya Kuching akan menjadi tarikan dan dapat kekal sebagai bandar yang bersih, cantik dan rakyatnya yang bersatu. - Sarawakiana

  • No Comment to " Pembinaan Semula Jambatan Gantung Satok Penting Untuk Pelancongan "