• Pembelajaran Abad Ke-21 Di Semua Sekolah

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+

    PADANG TERAP: Konsep Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) yang menjadi elemen penting Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) diperluas ke semua sekolah dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

    Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata usaha itu akan digerakkan secara berperingkat-peringkat bergantung kepada peruntukan diluluskan Kementerian Kewangan.

    Beliau berkata, tempoh lima hingga 10 tahun itu diperlukan berikutan usaha melengkapi sekolah dengan keperluan elemen PAK-21 memerlukan kos yang tinggi, khususnya bagi tujuan pengubahsuaian kelas.

    "Saya jangkakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melalui pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober ini, akan memberikan penumpuan kepada keperluan ini.

    "Perkara ini perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan sekolah di luar bandar juga akan melalui elemen PAK-21 yang lebih interaktif dengan penggunaan papan pintar dan peranti, seterusnya meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Santai dengan Warga Veteran UMNO di Kampung Kubang Bemban, Kuala Nerang, di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Kama Noriah Ibrahim.

    PAK-21 yang menekankan pembelajaran berpusatkan murid dan berunsurkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dilaksanakan dengan penyediaan bilik darjah bersesuaian dan disusuli penyediaan rancangan mengajar serta pelaksanaan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) abad ke-21.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, untuk permulaan pihaknya akan memastikan setiap sekolah mempunyai sekurang-kurangnya satu kelas yang mempunyai kelengkapan PAK-21 agar pelajar dapat didedahkan dengan teknologi.

    Katanya, sehingga kini sudah terdapat sekolah yang mempunyai kelas PAK-21 yang dibiayai dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), selain persatuan alumni dan sektor swasta.

    "Ada juga sekolah berasrama penuh dan kebanyakan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang mempunyai kelas pintar yang menerima sumbangan daripada pihak luar," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Pembelajaran Abad Ke-21 Di Semua Sekolah "