• Pembantu Am Rendah Dipenjara, Didenda RM220,000

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+

    IPOH: Seorang pembantu am rendah dipenjara empat tahun dan denda RM220,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah.

    Sanusi Abdul Rashid, 61, didakwa meminta dan menerima rasuah daripada jirannya sebagai dorongan untuk menarik semula laporan polis yang dibuat anaknya, empat tahun lalu

    Hakim S Indra Nehru membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan keterangan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes berkenaan.

    Pihak Pendakwaan berjaya membuktikan wujud keraguan munasabah dalam kes itu.

    Tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM150,000 bagi pertuduhan pertama dan masing-masing empat tahun penjara dan denda RM35,000 bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

    Bagi hukuman penjara, Indra Nehru memerintahkan hukuman itu dijalankan serentak bermula hari ini.

    Beliau memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan 15 bulan bagi pertuduhan pertama dan masing-masing tambahan empat bulan penjara bagi pertuduhan kedua dan ketiga jika gagal membayar denda berkenaan.

    Mengikut pertuduhan pertama, Sanusi didakwa meminta suapan wang RM30,000 daripada Badrun Abdul Hadi bagi menarik balik laporan polis yang dibuat di hadapan Blok A, Kuarters Institut Pendidikan Air Panas, Gerik, jam 9.30 pagi, 17 Ogos 2013.

    Tertuduh turut didakwa meminta rasuah RM7,000 daripada Badrun melalui satu perbualan telefon di Pusat Khidmat Pelanggan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Takong Dato, Gerik, jam 4.10 petang, 20 Ogos tahun yang sama.

    Bagi pertuduhan ketiga, bapa kepada sembilan anak itu didakwa menerima suapan RM7,000 daripada lelaki sama di pondok awam berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, jam 4 petang, 23 Ogos tahun sama.

    Dia didakwa atas semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

    Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar keseluruhan denda sebanyak RM220,000 dan membayar wang jaminan tambahan sebanyak RM20,000 jika mahu penangguhan bagi hukuman penjara selepas peguambela tertuduh memohon penangguhan pelaksanaan hukuman kerana mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Muhaimin Aris dan Hatim Musa.

    Tertuduh kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung manakala anak-anak tertuduh kelihatan menitiskan air mata sebaik hakim menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pembantu Am Rendah Dipenjara, Didenda RM220,000 "