• Pembangunan pos negara berada pada tahap terbaik

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+


    KUCHING: Malaysia berada pada kedudukan ke-23 daripada 170 negara dalam Indeks Bersepadu Bagi Pembangunan Pos yang dikeluarkan Universal Postal Union (UPU) baru-baru ini.

    Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, kedudukan tersebut menunjukkan perkhidmatan pos negara berada dalam tahap yang baik.

    “Kita sasarkan Insya-Allah pada 2020, peningkatan kedudukan ke-20 dalam indeks ini.

    “Kementerian bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan terus memastikan tradisi kecemerlangan perkhidmatan pos negara pada masa akan datang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pos Sedunia 2017 Wilayah Sarawak di sini hari ini.

    Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh dan Ketua Pegawai Sektor Digital Ekosistem SKMM, Datuk Mohd. Ali Hanafiah Mohd. Yunus.

    Sambutan itu julung kali diadakan di luar Kuala Lumpur yang bertemakan ‘Inovasi, Integrasi dan Keterangkuman pada tahun ini.

    Sambutan itu turut menyaksikan dua kakitangan pos menerima sijil penghargaan bagi Anugerah Tiada Cuti Sakit Bagi Tempoh 24 tahun kepada Tham Ah Soi, 60, Anugerah Perkhidmatan Lama (41 tahun) kepada Ating@Eteng Doro, 60.

    Tambah Jailani, pelbagai inisiatif dijalankan dan dirancang dalam perkhidmatan pos yang mampu menjadi katalis memacu ekonomi negara khususnya membantu golongan usahawan mikro, kecil dan sederhana di negara. - UTUSAN ONLINE

  • No Comment to " Pembangunan pos negara berada pada tahap terbaik "