• Pembangunan Pesat Infrastruktur Dibuat Demi Rakyat

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Pembangunan pesat infrastruktur di seluruh negara ketika ini memberi petunjuk jelas yang kerajaan kekal fokus kepada kesejahteraan masa depan rakyat.

    Antara projek infrastruktur teras yang kini dilaksana kerajaan ialah Transit Aliran Massa (MRT), Lebuhraya Pan Borneo (LPB), Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

    Ketua Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Mohd Redza Abdul Rahman berkata, projek terbabit yang dijadual siap mulai 2022, dijangka menawarkan banyak manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada orang ramai.

    “Infrastruktur itu akan mengurangkan kos pengangkutan barangan dan ini akan merapatkan jurang harga barangan dan ketersediaan barangan untuk penduduk luar bandar dengan bandar," katanya kepada Bernama.

    Contohnya, pembinaan LPB akan menyediakan akses yang baik kepada kawasan luar bandar, dengan itu merangsang ekonomi melalui penempatan kilang pengeluaran dari bandar ke kawasan luar bandar di mana kos tanahnya lebih murah.

    Projek terbabit juga menawarkan pekerjaan kepada penduduk dan mengurangkan perpindahan ke bandar yang dilanda pelbagai masalah berkaitan penduduk miskin bandar.

    Mohd Redza berkata, dengan merangsang pertumbuhan ekonomi di sepanjang laluan projek tersebut, ia akan mewujudkan permintaan untuk perumahan dan perkhidmatan lain seperti pusat komersial dan hospital.

    “Ini akan meningkatkan kualiti hidup penduduk yang tinggal di sepanjang laluan pengangkutan terbabit," tambahnya.

    Dalam jangka pendek, katanya, kerja-kerja pembinaan akan menyediakan pekerjaan kepada penduduk tempatan, bukan sahaja sebagai buruh tetapi juga kerja profesional seperti jurutera, manakala dalam jangka panjang, pembangunan perbandaran baharu akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penghuninya.

    Dijadual siap pada 2023, LPB sepanjang 706 kilometer itu antara lain akan dinaik taraf daripada dua lorong kepada empat lorong dan mengandungi pintasan, dengan itu memendekkan masa dan jarak perjalanan.

    Lebuh raya itu membolehkan akses kepada banyak kawasan dan merangsang mobiliti di samping meningkatkan sektor ekonomi seperti pembinaan dan pelancongan.

    Sementara itu, ECRL merupakan satu lagi inisiatif bagi menambah kesalinghubungan, kali ini antara pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia dan dijangka mewujudkan 111,000 pekerjaan menjelang 2060.

    Projek jalan kereta api sepanjang 688 kilometer itu akan memendekkan masa perjalanan antara pantai barat dan timur kepada empat jam berbanding 12 jam ketika ini, dengan itu mengurangkan kos perjalanan dengan banyak.

    Mengenai HSR, Mohd Redza berkata, masa perjalanan yang pendek akan membolehkan penduduk yang tinggal beratus-ratus kilometer dari Kuala Lumpur atau Singapura untuk bekerja di kedua-dua bandar raya terbabit ketika mereka tinggal di bandar atau sekitar stesen yang kos sara hidupnya secara bandingannya lebih rendah.

    Projek HSR bertujuan untuk memudahkan perjalanan lancar antara dua ibu negara terkemuka Asean, meningkatkan hubungan perniagaan dan menjadi pemangkin pembangunan pekan dan bandar di sepanjang laluan kereta api tersebut dan dengan itu mewujudkan pengganda ekonomi yang penting.

    HSR itu yang akan mempunyai terminal di Bandar Malaysia di Kuala Lumpur dan Jurong East di Singapura dijadual memulakan operasi pada 31 Disember 2026 dan dijangka memendekkkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit.

    “Bagi MRT, kami menjangka kemunculan pelbagai projek pembangunan berorientasi pengangkutan berhampiran stesen MRT. Walaupun ia akan dikuasai pembangunan bangunan tinggi, ia sudah pasti akan membawa kepada paras harga yang lebih rendah.

    “Sebagaimana yang boleh dilihat dalam Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), terdapat pertambahan dalam jumlah transaksi untuk apartmen/kondominium pada paras harga antara RM500,000 dan RM1 juta,” katanya.

    Dengan melaksanakan pembangunan berhampiran stesen dan jauh daripada pusat bandar, katanya, orang ramai boleh menjangka harga yang lebih rendah untuk perumahan, dengan itu membolehkan mereka membeli rumah pada harga yang lebih berpatutan.

    Projek MRT itu menyaksikan pelancaran penuh Laluan 1 (Sungai Buloh – Kajang) pada 2017, dengan Laluan 2 (Sungai Buloh–Serdang–Kajang–Putrajaya) dijadual siap menjelang 2022.

    Sejak MRT memulakan operasi pada Disember 2016 sehingga Ogos tahun ini, 7.4 juta penumpang telah menggunakannya dan dengan itu mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya sehingga 22 peratus.

    MRT itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 130,000 penduduk yang kemudiannya menjana pendapatan negara kasar antara RM3 bilion dan RM4 bilion setahun daripada pembinaan dan operasi sahaja antara 2011 dan 2020.

    Mohd Redza berkata, projek infrastruktur terbabit akan membantu pembangunan di kawasan luar bandar dan dengan itu mengurangkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Pembangunan Pesat Infrastruktur Dibuat Demi Rakyat "