• Pembangkang ‘Pandai’ Ambil Kredit Kerajaan

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Pelbagai tuduhan palsu dibuat oleh pembangkang seperti Malaysia bukan lagi negara pilihan pelabur, pelabur asing meninggalkan Malaysia dan Malaysia adalah sebuah negara yang gagal.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, data berhubung aliran masuk bersih pelaburan langsung asing ke dalam Malaysia bagaimanapun menunjukkan sebaliknya.

    “Aliran masuk bersih pelaburan langsung asing ke Malaysia meningkat daripada RM23.9 billion pada tahun 2008 kepada RM47.2 billion pada tahun 2016 dan sejak 2014 pelaburan langsung asing meningkat secara konsisten.

    “Trend ini berlaku walaupun Malaysia berhadapan dengan ketidaktentuan daripada luar seperti kejatuhan harga komoditi dan pasaran kewangan global yang tidak menentu. Aliran bersih pelaburan langsung asing ke Malaysia pada tahun 2014 sebanyak RM35.6 bilion, RM39..4 bilion (2015) dan RM47.2 bilion (2016),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Abdul Rahman berkata, tatkala pembangkang menyebarkan propaganda palsu demi kepentingan politik mereka, Selangor dan Pulau Pinang menikmati pertumbuhan ekonomi, pembangunan, kemakmuran dan kestabilan yang telah dibawa kerajaan persekutuan.

    Sebagai contoh, kata beliau, Pulau Pinang negeri yang mendapat kelulusan pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan bernilai RM7.7 billion bagi separuh pertama 2017 adalah bukti bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mendiskriminasi atau berat sebelah terhadap negeri-negeri yang dikuasai pembangkang persekutuan demi negara secara keseluruhan.

    Kata beliau, hal tersebut dibuktikan lagi dengan pembangunan dan pembinaan rangkaian infrastruktur yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan seperti MRT, LRT dan lebuh raya yang jajarannya merentasi bandar-bandar di Selangor termasuk Zon Perdagangan Bebas Digital yang terletak juga di dalam Selangor di KLIA Aeropolis dan Jambatan Pulau Pinang ke-2 yang menyambungkan tanah besar dengan pulau serta mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang yang pertama.

    Tambah beliau, pujian sepatutnya diberikan kepada agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang sentiasa mempromosi Malaysia di peringkat global dalam usaha menarik pelaburan langsung dari luar negara walaipun melibatkan negeri-negeri pembangkang.

    “Modus operandi pembangkang adalah mengambil kredit bagi semua pencapaian positif di negeri mereka dan pantas menyalahkan kerajaan persekutuan apabila timbul apa-apa berita negatif tentang negara kita.

    “Rakyat Malaysia mesti sedar dan menilai, pihak mana yang bersungguh-sungguh menguruskan ekonomi negara dan pihak mana yang sibuk berpolitik setiap masa,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Pembangkang ‘Pandai’ Ambil Kredit Kerajaan "