• Pembangkang Bimbang Calon Tak Lepasi Saringan SPRM - Hamzah

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR : Pembangkang tidak akan menghantar senarai calon Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 untuk ditapis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berikutan kebimbangan mereka senarai dihantar itu tidak melepasi saringan agensi itu.

    Perkara itu dinyatakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sambil menjelaskan, sebaliknya apa yang akan dilakukan pembangkang bagi menangkis persepsi negatif rakyat terhadap mereka adalah dengan menyalahkan Barisan Nasional (BN).

    Beliau berkata, sikap pemimpin mereka yang sentiasa berdolak dalik dan sering mengubah pendirian atau 'u-turn' mengukuhkan lagi jaminan itu, bahawa mereka tidak akan serahkan senarai calonnya kepada SPRM.

    "Pembangkang ini dia cakap tidak serupa bikin. Saya percaya mereka tidak akan buat (serahkan nama calon untuk ditapis SPRM). Sebab sikap pemimpin mereka yang suka buat 'u-turn'.

    "Contoh jelas macam Tun Dr Mahathir Mohamad, dulu dia juga kata DAP parti tak boleh pakai, tapi lihatlah sekarang dia pula yang kata DAP bagus. Jelaslah disini bahawa kumpulan mereka ini tidak boleh dipercayai," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan kampus baharu Kolej ICOOP di Damansara Damai, di sini, hari ini.

    Hamzah berkata, pembangkang juga enggan berbuat demikian berikutan senarai calon yang akan diberikan kepada SPRM boleh dipersoalkan dan tidak telus.

    "BN mengamalkan sikap ketelusan yang tinggi, jadi senarai calon kita sudah serah kepada SPRM, tapi pembangkang tidak. Jadi rakyat kena sedar, tidak perlu percaya pada pembangkang ini. Mereka tidak layak untuk memimpin negara," katanya.

    Beliau mengulas kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mempertikaikan kewajaran menghantar nama calon kepada SPRM, sambil menyatakan mereka mempunyai kaedah sendiri dalam menilai calonnya.

    PAS juga enggan menghantar senarai calonnya kepada SPRM dengan alasan tapisan oleh Majlis Syura Ulama PAS sudah memadai.

    Mengulas mengenai majlis itu, Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyatakan pihaknya menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memberi bantuan biasiswa kepada pelajar yang layak memasuki Kolej ICOOP.

    Katanya, saringan juga akan dilakukan kepada semua permohonan biasiswa terbabit, bagi membolehkan hanya mereka yang layak dan memenuhi syarat penerimaan akan dibantu," katanya.

    Beliau juga mahu agensi di bawah KPDNKK terutama Bank Rakyat dan SKM supaya membantu pelajar Kolej ICOOP, menerusi pelbagai saluran tanggungjawab sosial korporat (CSR).

    "Ini bagi memastikan visi kerajaan untuk membangunkan institusi koperasi dapat dilaksana menerusi pengeluaran tenaga kerja mahir yang boleh merangka pelan jangka panjang kepada kejayaan koperasi," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pembangkang Bimbang Calon Tak Lepasi Saringan SPRM - Hamzah "