• Pembangkang akan teruskan BR1M

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang akan meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada tahun 2012.

    Laporan Belanjawan Alternatif 2018 pembangkang menyebut, pakatan itu menyedari yang BR1M telah memberi manfaat kepada mereka yang paling memerlukan.

    Mereka berpendirian untuk mengekalkan pembayaran yang sama kepada kategori penerima yang sama menerima bantuan itu ketika ini.

    "Kami juga ingin meningkatkan produktiviti dan nilai diri penerima BR1M. Daripada menjadikan BR1M sebagai pemberian langsung, kami akan membuatkan BR1M bersyarat kepada penerima melakukan sesuatu yang positif.

    "Sebagai contoh, kami mungkin mengagihkan pembayaran tertentu BR1M kepada penerima yang bekerja, dengan syarat mereka tetap bekerja selama sekurang-kurangnya tiga bulan," katanya.

    Pembangkang menjelaskan, yang ia juga mungkin menetapkan wang BR1M hanya digunakan untuk tujuan sosial dan keluarga tertentu.

    "Sebagai contoh, jika keluarga menerima BR1M berjumlah RM1,200, ketua keluarga terbabit tidak boleh menggunakan wang itu untuk barang remeh dan tidak sihat seperti rokok dan alkohol.

    "Wang BR1M mesti digunakan untuk membeli barangan runcit untuk kegunaan keluarga, menyelesaikan bil utiliti dan untuk tujuan pendidikan," katanya.

    BR1M yang mula diperkenalkan pada tahun 2012 memanfaatkan 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang di seluruh negara.

    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada akhir tahun lalu pernah mengatakan yang pemberian BR1M sebagai rasuah dan salah di sisi undang-undang.

    Beliau mendakwa BR1M digunakan oleh kerajaan bagi meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Bagaimanapun, Dr Mahathir membuat pusingan U pada awal tahun ini apabila menyatakan hasrat mahu meneruskan bantuan itu jika pembangkang menang pada PRU14 akan datang.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pembangkang akan teruskan BR1M "