• Pelarian Rohingya Kekurangan Makanan

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+


    COX’S BAZAR (Bangladesh) – Bekalan makanan di lebih 10 kem pelarian Rohingya kian meruncing sehingga ada antara pelarian itu yang menumpang keprihatinan penduduk setempat.

    Jurucakap Malaysian Humanitarian Center (MHC), Johan Ariff Ismail berkata kebanyakan pelarian baharu yang semakin bertambah tinggal di penempatan sementara dan tapak spontan.

    Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta delegasi yang kini berada di sini sejak semalam, bagi misi kemanusiaan membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelarian.

    “Mereka bergantung kepada pengagihan kemanusiaan yang sedang dipertingkatkan. MHC sejak beroperasi hanya mampu mengedarkan 3,000 pek makanan, bernilai RM100,800,” katanya.

    Data yang dikeluarkan MHC menunjukkan 212,343 pelarian telah memasuki Bangladesh sebelum keganasan tentera Myanmar di wilayah Rakhine sejak 25 Ogos lalu.

    Sebaik tercetus keganasan dan pembunuhan beramai-ramai itu sebanyak 535,854 pelarian telah membanjiri kem yang dibina sendiri di sekitar sempadan kedua-dua negara.

    Ia menjadikan jumlah pelarian yang memasuki Bangladesh sejak ratusan tahun lalu semakin besar dengan anggaran keseluruhan mencecah 1.2 juta orang. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pelarian Rohingya Kekurangan Makanan "