• Pelantikan Dr Amin Bukti Rakyat Sabah, Sarawak Tidak Dipinggirkan

    Published: Wednesday, 18 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR -- Pelantikan Datuk Dr Amin Senin sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu jelas membuktikan bahawa rakyat Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepertimana didakwa Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) Datuk Zulkarnain Mahdar berkata tuduhan bekas perdana menteri itu kononnya Najib cuba menghakis hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak jelas jauh terpesong daripada fakta sebenar.

    "Meskipun pelantikan ketua pengarah pelajaran dibuat berdasarkan merit penjawat awam, namun kita yakin konsep kebersamaan yang diamalkan antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak dilihat sebagai satu daripada faktor pelantikan ini dibuat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Pelantikan Amin, 57, yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) berkuat kuasa Khamis ini, adalah bagi menggantikan Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

    Amin yang berasal dari Sabah dan telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 33 tahun, juga pernah menjawat beberapa jawatan antaranya Pengarah Institut Aminuddin Baki dan Timbalan Rektor Institut Pendidikan Guru.

    Zulkarnain menarik perhatian bahawa pada zaman pemerintahan Dr Mahathir, tidak ada seorang pun penjawat awam yang berasal dari Sabah dan Sarawak pernah dilantik menduduki jawatan tertinggi dalam hirarki pentadbiran Persekutuan, apatah lagi Menteri Kanan Kabinet Persekutuan.

    Justeru, beliau percaya konsep kebersamaan dan kesamarataan yang diamalkan di bawah pimpinan Najib lambat laun akan dapat difahami seluruh rakyat Sabah dan Sarawak, malah slogan yang dilaungkan sesetengah mereka iaitu 'Sabah untuk Sabah' dan 'Sarawak untuk Sarawak' juga mampu terhakis sepenuhnya.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pelantikan Dr Amin Bukti Rakyat Sabah, Sarawak Tidak Dipinggirkan "