• Peguam Negara Buat Laporan Polis

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, membuat laporan polis terhadap penulis blog, Raja Petra Kamarudin (RPK) kerana memfitnah beliau menerusi artikelnya, baru-baru ini.

    Mohamed Apandi ketika dihubungi BH, mengesahkan membuat satu laporan di Kuala Terengganu pada Ahad lalu dan satu lagi dibuat oleh pejabatnya di Putrajaya pada hari sama.

    "Masa saya mula-mula baca cerita Raja Petra itu, saya berada di Kuala Terengganu. Maka report (laporan) di buat di sana. Sekarang, saya dimaklumkan siasatan diambil alih oleh Bukit Aman.

    "Laporan lain dibuat oleh pejabat saya (Pejabat Peguam Negara). Saya serah untuk pihak polis siasat dan oleh kerana saya yang menjadi pengadu, maka kertas siasatan dikendalikan oleh pegawai saya," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada BH.

    Beliau turut menjelaskan baru selesai memberi keterangan kepada polis berhubung kes itu.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, mengesahkan menerima laporan daripada Mohamed Apandi dan sedang menjalankan siasatan mengenainya.

    Beliau memberitahu BH, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.

    Terdahulu, Raja Petra dalam tulisannya didakwa membuat pelbagai tuduhan rasuah terhadap Mohamed Apandi.

    Raja Petra turut didakwa menulis kononnya satu pertemuan diadakan pada 2015 antara hakim kanan dan seorang ahli politik bagi membincangkan dakwaan menjatuhkan kerajaan. BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Peguam Negara Buat Laporan Polis "