• PBDSB Gesa Kerajaan Selesaikan Isu NCR

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) menggesa kerajaan negeri menyelesaikan isu berhubung 'pemakai menoa' dan 'pulau galau' yang dihadapi oleh masyarakat pribumi bagi menuntutTanah Hak Adat (NCR).

    Memetik laporan Bernama, PBDSB mahu kerajaan mengembalikan peruntukan Seksyen 5 (2) (f) Kanun Tanah Sarawak (Bab 81) yang dimansuhkan sejak 17 tahun lalu bagi menyelesaikan perkara-perkara berkaitan tuntutan Tanah Adat Bumiputra (NCR).

    "Dengan mengembalikan Seksyen 5 (2) (f), hak-hak dan Adat akan mempunyai kuasa undang-undang atas tuntutan masyarakat Pribumi terhadap Pemakai Menoa dan 'Pulau Galau' dan definisi lain NCR sebagai Tanah Hak Adat," kata Ketua Pemuda PBDSB, Rapelson Richard Hamit.

    Rapelson berkata kedua-dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Dr James Jemut Masing harus melakukan sesuatu mengenai perkara tersebut memandangkan kedua-duanya merupakan dari suku kaum Iban.

    "Jika kedua-dua mereka serius untuk melindungi hak tanah NCR, mereka harus membentangkan satu Rang Undang-undang untuk mengembalikan Seksyen 5(2)(f) pada persidangan dewan undangan negeri akan datang. Ini sepatutnya menjadi penyelesaian," ujarnya.

    Sementara itu, memetik laporan Utusan Borneo, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata jawatankuasanya akan mengemukakan cadangan mengenai isu berkaitan Pemakai Menoa dan Pulau Galau kepada kerajaan negeri menjelang hujung tahun ini.

    “Melihat kepada usaha ini ia mengambil masa tetapi saya merasakan rakyat pastinya menjangkakan satu penyelesaian dalam tahun ini terutama berkaitan definisi dan kita selain itu membuat beberapa cadangan lain kepada kerajaan.

    “Kita akan melakukan yang terbaik kerana saya melihat pelbagai pandangan dan kenyataan mengenai isu berkenaan tetapi kita tidak menyalahkan mereka cuma mahu mereka menghargai apa yang kita usahakan.

    Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah telah ditugaskan untuk mengendalikan isu NCR dan kini mengetuai Jawatankuasa Pemakai Menoa dan Pulau Galau.

    Tambahnya, kerajaan perlu memastikan definisi tepat kepada Pemakai Menoa dan Pulau Galau untuk memastikan ia diterima pakai oleh semua etnik.

    "Ini kerana setiap daripada etnik kita mempunyai pandangan berbeza dalam perkara ini, di mana Orang Ulu mempunyai pandangan mereka sendiri, Bidayuh mempunyai pandangan mereka sendiri dan begitu juga Iban,” jelasnya sambil menambah, perkara seperti itu harus diambil kira.. - Sarawakiana
  • No Comment to " PBDSB Gesa Kerajaan Selesaikan Isu NCR "