• PBB Kumpul RM1.8 Bilion Bantu Rohingya

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memulakan satu persidangan, semalam bertujuan mengumpul dana besar bernilai kira-kira AS$434 juta (RM1.8 bilion) membantu krisis pelarian Rohingya Myanmar di Bangladesh.

    Lebih 600,000 orang dari kumpulan minoriti Islam dilaporkan melarikan diri di negeri Rakhine, utara Myanmar sejak Ogos lalu.

    Ini menjadikan jumlah pelarian Rohingya ke Bangladesh dianggarkan mencecah 900,000, termasuk mereka yang melarikan diri sebelum gelombang keganasan yang berlaku baru-baru ini.

    Persidangan di Geneva yang dianjurkan bersama Kesatuan Eropah (EU) dan Kuwait adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan dana AS$434 juta menjelang Februari 2018.

    Sejumlah AS$100 juta (RM423 juta) sudah pun dihantar atau dijanjikan sebelum persidangan berlangsung, dan EU semalam merayu tambahan sebanyak RM149 juta.

    "Menyedihkan, kami berada di sini, hari ini kerana memerlukan satu jumlah yang lebih besar berbanding sumber yang kami ada ketika ini," kata Timbalan Ketua Program Makanan Sedunia (WFP), Elisabeth Rasmusson.

    "Bagi pihak orang yang hendak dibantu, kami harus meminta lebih banyak lagi daripada anda," tambahnya.

    Dana berkenaan akan memberi faedah kepada 900,000 pelarian serta kira-kira 300,000 penduduk tempatan dari Cox's Bazar, Bangladesh di sempadan Myanmar.

    Masyarakat tempatan dan kerajaan Bangladesh dipuji secara meluas kerana mengekalkan pembukaan sempadan untuk pelarian Rohingya. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " PBB Kumpul RM1.8 Bilion Bantu Rohingya "