• Patah Tangan Ditetak Adik

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+


    SUNGAI SIPUT - Polis menembak seorang lelaki kurang siuman menggunakan taser gun selepas lelaki tersebut mengamuk dan menetak abangnya di hadapan sebuah rumah di Kampung Muhibbah, di sini, semalam.

    Tindakan pantas dan berani sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput berjaya menangkap lelaki tersebut yang turut cuba menyerang anggota polis.

    Dalam insiden kira-kira jam 5.16 petang itu, seorang lelaki berusia 43 tahun yang merupakan abang kepada lelaki kurang siuman itu patah tangan kiri akibat ditetak dengan parang.

    Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Abd Fatah Abd Rahman mengesahkan laporan kejadian ketika dihubungi, semalam.

    Menurutnya, anggota polis cuba memujuk lelaki berusia 40 tahun itu yang mengamuk dengan membawa sebilah parang.

    “Anggota memaklumkan kepada saya lelaki tersebut berada di hadapan rumah abangnya di Kampung Muhibbah dan memegang sebilah parang panjang.

    "Lelaki tersebut menetak abangnya sebelum kehadiran polis. Akibat tetakan itu, abangnya mengalami kecederaan di tangan kiri,” katanya.

    Tambah beliau, beberapa anggota di lokasi kejadian cuba memujuk lelaki tersebut, namun tidak berhasil dan menyebabkan polis menembak lelaki itu dengan taser gun.

    “Anggota memberi amaran kepada lelaki itu dengan tiga kali menyebut perkataan ‘taser’ tetapi amaran tersebut tidak dipedulikan.

    “Lelaki itu kemudian bertindak menyerang anggota dan tembakan dilepaskan ke arahnya dalam jarak kira-kira lima meter.

    “Lelaki itu mendapat sedikit kecederaan ringan akibat terjatuh selepas ditembak dan kemudiannya menerima rawatan di Hospital Sungai Siput,” katanya.

    Tambahnya, lelaki tersebut dirujuk dan dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk tindakan selanjutnya. - SinarOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Patah Tangan Ditetak Adik "