• Pasukan Siasatan MH370 Sudah Cukup Pakar

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Pasukan Penyiasat Bebas Antarabangsa yang disertai pelbagai negara dan kepakaran sudah memadai bagi menyiasat insiden pesawat MH370.

    Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, pasukan itu melibatkan tujuh negara besar dan kepakaran yang berlandaskan Annex 13 (Covention on International Civil Aviation, Aircraft Accident and Incident Investigation).

    “Kita telah menubuhkan pasukan penyiasatan antarabangsa yang dianggotai oleh tujuh negara besar, iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, China, Perancis, Singapura dan Indonesia.

    “Kita juga melibatkan syarikat pembuatan pesawat itu, Boeing dan pembuat enjin, Rolls Royce. Mereka adalah pakar.

    “Jika mahu wujudkan pasukan siasatan oleh rakyat Malaysia, saya rasa pasukan ini telah diiktiraf oleh pihak ICAO (Malaysian International Civil Aviation Organisation),” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan oleh Ahli Parlimen Lumut, Mohamad Imran Abd Hamid yang meminta kerajaan menubuhkan pasukan siasatan baru dianggotai rakyat tempatan.

    Ab Aziz berkata, lokasi pesawat itu gagal dikesan sehingga kini berikutan transponder dan sistem komunikasi telah dimatikan.

    Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan sedang dalam rundingan dengan sebuah syarikat antarabangsa, Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian pesawat MH370.

    MH370 hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014. Ia membawa 239 penumpang dan anak kapal.

    Australia, China dan Malaysia, yang bersama-sama menyelaras dan membiayai operasi pencarian, pada Januari telah menangguhkan misi pencarian MH370 selepas tiada kesan pesawat Boeing 777 ditemukan di kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi. - Sinar Harian 

    Subjects:

  • No Comment to " Pasukan Siasatan MH370 Sudah Cukup Pakar "