• Pasukan Liga Super Berebut Pikat 'Ubi' Sarawak

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+


    SARAWAK yang baharu sahaja dilanda kekecewaan selepas terpaksa turun ke Liga Perdana kini ibarat 'jatuh ditmpa tangga' bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan.

    Ini kerana, pemain muda atau 'ubi' berbakat yang dimiliki Sarawak kini difahamkan sedang diintai penuh minat oleh kebanyakan pasukan di Liga Super.

    Dua 'ubi' yang menarik perhatian Selangor, PKNS, Terengganu dan Kuala Lumpur itu ialah pemain sayap, Tommy Mawat (gambar bawah) dan Nur Shamie Iszuan.

    Menurut sumber yang rapat kepada kedua-dua pemain terbabit, keempat-empat pasukan terbabit menawarkan sejumlah kontrak yang cukup lumayan kepada Tommy dan Shamie.

    "Tommy dan Shamie sedang dalam dilema buat masa ini untuk fikirkan masa depan mereka selepas mendapat tawaran yang cukup baik selain beraksi di Liga Super.

    "Mungkin mereka akan berhijrah kerana tambahan kontrak bersama Sarawak sudah pun tamat pada penghujung musim ini dan mereka bebas untuk buat segala keputusan.

    "Mereka masih sayangkan Sarawak dan belum ada keputusan untuk kekal atau berhijrah ke Malaysia Barat bersama pasukan baharu.

    "Selangor dan PKNS antara dua pasukan yang begitu meminati khidmat mereka kerana polisi kedua-dua pasukan berkenaan mahu menggunakan sebahagian besar pemain muda bermula musim 2018.

    "Semuanya bergantung kepada beberapa faktor yang mereka sedang pertimbangkan tetapi apa paling mustahak mereka mahu sebuah pasukan yang boleh berikan mereka kejayaan sekurang-kurangnya satu trofi, " katanya.

    Selain Tommy dan Shamie, beberapa pemain lain seperti Shreen Tambi dan Alif Hassan turut menarik perhatian beberapa pasukan lain.

    Sarawak sememangnya antara pasukan yang berani ambil pendirian ketengahkan bakat-bakat muda dalam kesebelasan utama pada musim ini.

    Walaupun gagal berada dalam kelompok 10 terbaik dalam pentas Liga Super musim ini yang menyaksikan Sarawak tersingkir, pasukan berkenaan dilihat mampu memberi cabaran di Liga Perdana dengan kehadiran pemain-pemain muda berbakat.- mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Pasukan Liga Super Berebut Pikat 'Ubi' Sarawak "