• Parlimen: KDN Boleh Batalkan Permit Syarikat Pengawal Keselamatan Elak Penyusupan Pengganas

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membatalkan permit syarikat pengawal keselamatan daripada beroperasi jika syarikat itu didapati menggaji pengawal yang tidak mempunyai dokumentasi pekerjaan ataupun dokumen palsu.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata malah KDN boleh membatalkan permit syarikat terbabit tanpa perlu memberikan amaran terakhir kerana ia sebagai langkah membendung penyusupan pengganas daripada warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

    "KDN juga amat bertegas (terhadap) mana-mana syarikat yang mengambil pekerja tanpa dokumen, atau mempunyai dokumen palsu atau mempunyai unsur-unsur jenayah maka syarikat itu akan terbatal tanpa adanya amaran akhir," katanya pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) ketika sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri mengenai sama ada KDN memperketatkan syarat pengambilan pengawal keselamatan berikutan penahanan tujuh pengikut Abu Sayyaf di ibu negara pada 14 Sept lalu.

    Beliau juga berkata KDN telah menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengesan penyebaran maklumat dan pengaruh berkaitan keganasan membabitkan kumpulan militan Daesh.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Parlimen: KDN Boleh Batalkan Permit Syarikat Pengawal Keselamatan Elak Penyusupan Pengganas "