• Pandelela Mahu Bangkit Selepas Cedera

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Pandelela Rinong fokus untuk mengembalikan prestasinya susulan beberapa siri kecederaan yang mengganggu prestasinya sejak awal tahun ini.

    Penerjun negara itu akan bertanding dalam acara kegemarannya - 10m platform individu wanita dan seirama (bergandingan dengan Leong Mun Yee) pada kejohanan Terjun Grand Prix Kuala Lumpur selama tiga hari mulai Jumaat ini di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

    Apa yang menarik, gandingan Pandelela dan Mun Yee - sebagai pengganti Cheong Jun Hoong yang masih cedera - adalah kali pertama sejak mereka memenangi pingat gangsa pada Siri Dunia 2016 di Kazan dan Beijing.

    "GP (di KL dan Gold Coast) akan menjadi platform buat saya untuk bersedia bagi Sukan Komanwel Gold Coast tahun depan dan Sukan Asia Indonesia," katanya yang sebelum ini mengalami kecederaan bahu kanan ketika Siri Dunia, April lalu.

    "Saya mahu melakukan yang terbaik dalam kedua-dua acara selain menyaksikan serta mempelajari perkara baru daripada penerjun China dan negara lain." Pandelela mengakui musim kali ini paling mencabar buatnya susulan kecederaan yang dialaminya.

    "Saya mengalami pelbagai kecederaan dan ia sukar bagi saya. Saya melalui proses pemulihan dengan baik dan kini semakin bagus.

    "Saya juga menunjukkan kemajuan secara perlahan bagi sasaran tahun depan.

    "Pada mulanya ada perancangan untuk menaikkan darjah kesukaran saya, tapi ia terpaksa ditangguhkan kerana tidak mencukupi masa apabila Sukan Komanwel akan berlangsung beberapa bulan saja lagi," katanya yang akan mengekalkan rutin terjunannya seperti biasa.

    Subjects:

  • No Comment to " Pandelela Mahu Bangkit Selepas Cedera "