• Panama Cuti Umum Selepas Layak Ke Piala Dunia

    Published: Thursday, 12 October 2017
    A- A+

    PANAMA CITY – Presiden Panama, Juan Carlos Varela mengisytiharkan cuti kebangsaan bagi meraikan kejayaan negara dari Amerika Tengah itu layak ke Piala Dunia buat pertama kalinya.

    “Ia adalah hari bersejarah buat negara. Esok (Khamis) akan menjadi hari cuti kebangsaan untuk sektor awam dan swasta,” kata Varela menerusi Twitter, pagi tadi.

    Panama bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Costa Rica, 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia, semalam dan menempah tiket ke Russia 2018.

    Kemenangan itu meletakkan mereka di tangga ketiga kelayakan Zon CONCACAF, di belakang Mexico serta Costa Rica dan secara sensasi menendang keluar Amerika Syarikat daripada kejohanan itu.

    Ribuan rakyat Panama meraikan kejayaan itu di ibu kota, Panama City dengan membunyikan hon kereta sebagai simbolik detik bersejarah berkenaan.

    “Hari ini semua planet bersatu, anda tidak boleh hilang rasa percaya,” kata Varela di padang Estadio Rommel Fernandez selepas perlawanan.

    Walaupun ia bukan permainan kebangsaan Panama, namun kini bola sepak semakin mengejar kedudukan besbol dan tinju sebagai sukan pilihan negara itu. – AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Panama Cuti Umum Selepas Layak Ke Piala Dunia "