• Pakej Rangsangan Ekonomi Elak Kesan Kemelesetan 1997

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata dua pakej rangsangan ekonomi besar bernilai RM67 bilion yang dilaksanakan sebaik mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada 2009 berjaya menyelamatkan rakyat daripada kesengsaraan akibat kemelesetan ekonomi global yang teruk.

    Perdana Menteri berkata, tindakan pertama dilakukan kerajaan dengan menyalurkan wang ke dalam ekonomi bertujuan memulih dan menyelamatkan ekonomi daripada penguncupan lebih serius.

    Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kemelesetan global yang berlaku pada 2008 dan 2009 memberi kesan cukup mendalam kepada banyak negara, termasuk negara maju yang masih belum pulih hingga hari ini.

    "Namun, atas tindakan pantas yang kita ambil, rakyat Malaysia secara amnya terlindung daripada mengalami kesannya. Ia sama sekali tidak seperti tahun 1997.

    "Melalui tindakan ini, kita berjaya menyelamatkan rakyat Malaysia daripada kesengsaraan melalui kemelesetan teruk, seperti mana yang berlaku pada 1997. Waktu itu, Bursa Saham Kuala Lumpur jatuh lebih daripada 50 peratus, beribu-ribu kehilangan pekerjaan, perniagaan bankrap dan ramai menderita," katanya.

    Beliau berkata demikian dalam entri bertajuk `Ke Arah Malaysia Yang Lebih Kuat dan Berdaya Saing' menerusi blog najibrazak.com, hari ini.

    Perdana Menteri berkata, ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada April 2009, rakyat berada di tengah kemelesetan global yang paling teruk sejak tahun 1930-an.

    Beliau berkata, dasar ekonomi terbuka dan kebergantungan kepada perdagangan antarabangsa menyebabkan Malaysia terjejas teruk apabila eksport menurun 20 peratus, sementara ekonomi menguncup dengan ketara sebanyak 6.2 peratus pada suku pertama 2009.

    Katanya, negara dibelenggu dengan isu struktur dan legasi serius dan ini antara lain mengakibatkan gaji rendah yang gagal menyaingi inflasi, harga kereta mahal, kadar kemiskinan tinggi, ketidaksamaan pendapatan, kenaikan kadar tol lebuh raya yang kerap, penurunan standard pendidikan, pengangkutan awam yang teruk, perjanjian Loji Kuasa Bebas (IPP) yang berat sebelah, serta kapitalisme kroni yang berleluasa.

    "Kesemua ini memberi kesan buruk terhadap kebajikan rakyat. Kita juga terlalu bergantung kepada minyak, gas dan komoditi, manakala pembangunan negara tidak sama rata, dengan Sabah, Sarawak dan negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia ketinggalan.

    "Situasi ini memerlukan tindakan tegas dan hala tuju yang jelas," katanya.

    Perdana Menteri berkata, walaupun pakej rangsangan yang diperkenalkan ketika itu menyebabkan kenaikan sebanyak 10 peratus dalam nisbah Hutang-Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ke paras melebihi 50 peratus, langkah itu terbukti berjaya.

    Beliau berkata, kesannya Malaysia pulih dengan cepat dan menjelang akhir tahun berkenaan, ekonomi negara kembali berkembang, sekali gus menjadi satu pemulihan yang cukup mengagumkan.

    "Nisbah itu seterusnya stabil di bawah 55 peratus, yang jauh di bawah tahap negara yang maju - misalnya tahun lalu nisbah di United Kingdom hampir 90 peratus.

    "Walau bagaimanapun, pihak pembangkang cuba menggunakan peningkatan hutang ini untuk mengelirukan rakyat dan mendakwa kita akan bankrap. Ini langsung tidak masuk akal.

    "Pada 1986, nisbah Hutang-KDNK Malaysia mencapai 103 peratus dan kita tidak pula muflis pada waktu itu! Ini menunjukkan bahawa apabila pembangkang bercakap mengenai ekonomi, mereka hanya menyebar propaganda dan pembohongan yang terang-terangan untuk kepentingan politik yang mementingkan diri sendiri. Ini namanya - sabotaj ekonomi," katanya.

    Najib yang menjadikan bapanya, Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai idola bercita-cita meletakkan Malaysia di pentas global dan menjadi antara 20 negara teratas di dunia menjelang 2050.

    Katanya, tiada pencapaian yang lebih hebat daripada meletakkan Malaysia di landasan terbaik untuk masa depannya.

    "Itulah visi saya untuk inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50). Dan kini kita berjaya mencapai pelbagai kemajuan.

    "Itulah sebabnya Bank Dunia memberi sokongan terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan dan menyatakan dalam laporan negara terkini mereka bahawa 'ekonomi Malaysia sedang berkembang dari kedudukan yang kukuh'," katanya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Pakej Rangsangan Ekonomi Elak Kesan Kemelesetan 1997 "