• Pakatan Harapan Bertanding Tujuh Kerusi Di Utara Sarawak

    Published: Saturday, 21 October 2017
    A- A+

    MIRI: Pakatan Harapan akan bertanding bagi tujuh kerusi Parlimen di utara Sarawak meliputi Bintulu, Miri dan Limbang dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

    Jawatankuasa Pilihan Raya Utara Sarawak Pakatan Harapan berkata tujuh kerusi Parlimen yang akan ditandingi gabungan pembangkang itu ialah Bintulu, Hulu Rajang, Sibuti, Miri, Baram, Limbang dan Lawas dengan sasaran memenangi tiga daripada tujuh kerusi.

    "Kami berhasrat untuk bertanding satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN)," menurut kenyataan jawatankuasa itu di sini hari ini.

    Jawatankuasa itu dianggotai ADUN Pujut daripada DAP Dr Ting Tiong Chooon, selaku pengerusi, dan dua timbalannya iaitu Thor Danial (Amanah) dan Dennis Along (PKR).

    Kecuali kerusi Parlimen Miri yang kini diwakili PKR, penyandang bagi enam kerusi lain adalah daripada BN. Sarawak mempunyai 31 kerusi Parliman.

    Di ALOR SETAR, pembahagian kerusi untuk Pakatan Harapan yang menggabungkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR bagi menghadapi PRU14 masih berada pada peringkat rundingan.

    Timbalan Presiden Pakatan Harapan Mohamad Sabu berkata ada beberapa perkara lagi yang perlu diselesaikan gabungan itu dalam bentuk rundingan dengan berjalan secara baik dan terancang.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan pidatonya sebagai Presiden Amanah bersempena Konvensyen Nasional 2017 Amanah di sini hari ini. Konvensyen nasional itu berlangsung dari 20 hingga 22 Okt.

    Turut hadir pada konvensyen itu Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad serta Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pakatan Harapan Bertanding Tujuh Kerusi Di Utara Sarawak "