• Padah Paksa Lelaki Masuk Dalam Keranda

    Published: Saturday, 28 October 2017
    A- A+

    MIDDLEBURG (AFRIKA SELATAN): Dua petani kulit putih dihukum penjara semalam selepas memaksa seorang lelaki kulit hitam masuk ke dalam keranda dan mengugut untuk membakar mangsa hidup-hidup.

    Willem Oosthuizen dan Theo Martins Jackson hanya mampu menundukkan kepala selepas hakim di sebuah mahkamah di sini menjatuhkan hukuman penjara 19 dan 16 tahun.

    “Tindakan tertuduh adalah paling menyahmanusiakan dan menjijikkan,” kata Hakim Segopotje Mphahlele.

    Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dalam kejadian yang berlaku pada tahun lalu itu dan mendakwa hanya mahu menakutkan Victor Mlotshwa yang dituduh mencuri di ladang mereka.

    Mereka didapati bersalah pada 25 Ogos lalu atas tuduhan cubaan bunuh, menculik dan serangan dengan niat mendatangkan kecederaan.

    Oosthuizen, 29, dihukum penjara 16 tahun dengan lima tahun hukuman ditangguhkan manakala Jackson, 30, dihukum penjara 19 tahun juga dengan lima tahun hukuman ditangguhkan.

    Mphahlele berkata, tindakan tertuduh yang tidak boleh diterima adalah memaksa lelaki itu masuk ke dalam keranda dan bertanya adakah mangsa mahu mati dengan cepat atau perlahan-lahan.

    Tertuduh juga merakamkan video tindakan mereka yang kemudian tular di media sosial.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Padah Paksa Lelaki Masuk Dalam Keranda "