• Nurul Farhana Dijangka Pulang Ke Malaysia Esok

    Published: Thursday, 19 October 2017
    A- A+


    JAKARTA – Nurul Farhana Ahmad, warga Malaysia yang menghilangkan diri selama lebih setahun dan telah dikesan berada di Medan dijangka pulang ke pangkuan keluarganya di Sekinchan, Selangor esok.

    Operasi membawa pulang Nurul Farhana, 25, dan seorang anaknya berusia setahun lebih telah diusahakan oleh Anggota Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi dengan kerjasama pihak Konsulat Malaysia di Medan dan pihak berkuasa negara ini.

    Budiman berkata, setelah berjaya menghubungi Nurul Farhana beberapa hari lepas, pihaknya kini berusaha membawa pulang beliau ke pangkuan keluarga dan buat sementara ini, Nurul Farhana dan anaknya berada di sebuah tempat yang selamat.

    “Buat masa ini kita tidak dapat membuat pendedahan sepenuhnya (mengenai lokasi beliau berada) kerana tidak mahu beliau diganggu oleh mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

    Beliau berkata, keadaan Nurul Farhana dan anaknya dilaporkan selamat dan wanita itu juga tidak sabar untuk pulang bertemu keluarganya.

    Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Medan Armizal Fadzli Rajali berkata Konsulat Malaysia berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu untuk membawa pulang Nurul Farhana.

    “Inisiatif membawa pulang Nurul Farhana ini diusahakan oleh YB Budiman dan kita telah mendapat kerjasama yang baik dengan pihak berkuasa Indonesia di Medan untuk membantu pelbagai urusan,” katanya.

    Katanya, proses membawa pulang Nurul Farhana kini di peringkat dokumentasi dan semuanya dijangka selesai esok pagi.
    Nurul Farhana dipercayai telah menghilangkan diri bersama seorang lelaki dikenali sebagai Andika pada tahun lepas dan telah berkahwin serta mempunyai seorang anak lelaki.

    Berita mengenai kehilangan Nurul Farhana disiarkan oleh media-media Malaysia baru-baru ini apabila ibu kandungnya Normah Yusof, 51, meminta bantuan kerajaan apabila anak perempuan tunggalnya itu telah menghubungi beliau dan meluahkan hasrat mahu pulang.

    Nurul Farhana menghubungi ibu kandungnya itu pada minggu lepas dan berita itu kemudiannya mendapat perhatian Budiman yang terus mengambil tindakan untuk mencari dan membawa pulang wanita berkenaan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Nurul Farhana Dijangka Pulang Ke Malaysia Esok "