• NIOSH anjur kempen, tingkat keselamatan pusat tahfiz

    Published: Sunday, 15 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Negara (NIOSH) akan mengadakan kempen kesedaran keselamatan dan pekerjaan secara besar-besaran bagi meningkatkan tahap keselamatan sekolah tahfiz.

    Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kempen itu berikutan kes kebakaran pusat tahfiz termasuk insiden meragut nyawa 21 pelajar serta dua guru di pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato keramat, pada 14 September lalu.

    Menerusi kempen itu, NIOSH akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pihak berkuasa tempatan, Persatuan Pengurusan Fasiliti Malaysia (MAFM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    "Kempen ini akan dimulakan dengan penganjuran program kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerja (KKP) sekolah tahfiz seluruh Selangor pada 30 Oktober ini.

    "Program sehari itu akan diadakan dengan kerjasama pasukan bomba dan Persatuan Ihtimam Tahfiz al-Quran Selangor (Pinta Selangor) sebelum diperluaskan ke negeri lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Lam Thye berkata, NIOSH akan menyediakan garis panduan KKP yang boleh digunapakai semua sekolah tahfiz di seluruh negara.

    Katanya, NIOSH juga akan menyediakan manual panduan khas dan borang standard bagi membolehkan proses audit dibuat dengan cepat dan tepat.

    "Selain itu, NIOSH akan melakukan lawatan ke pelbagai sekolah tahfiz mengikut kategori jumlah pelajar bagi mengenalpasti bahaya serta isu berkaitan KKP," katanya.

    Mengulas lanjut, katanya, pelaksanaan KKP di sekolah tahfiz adalah konsep yang lebih menyeluruh kerana ia menganggap institusi berkenaan sebagai sebuah tempat kerja dan tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

    "Menerusi inisiatif ini, pihak sekolah digalak melaksanakan sistem pengurusan KKP yang baik dengan mengamalkan konsep mengenalpasti bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko," katanya. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " NIOSH anjur kempen, tingkat keselamatan pusat tahfiz "