• NGO Dayak Bantah Jadual Cuti Sekolah 2018

    Published: Tuesday, 10 October 2017
    A- A+
    Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili suara kaum majoriti Dayak menyuarakan bantahan terhadap jadual cuti penggal persekolahan 2018 yang didakwanya sebagai tidak wajar memandangkan perayaan Gawai Dayak disambut pada setiap 1 Jun di negeri ini.

    Presiden NGO Terabai Menua, Mark Jenggo dalam satu kenyataan membantah sekeras-kerasnya jadual cuti penggal persekolahan bagi tahun 2018 yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan yang kini tular di media sosial.

    Memetik laporan akhbar Utusan Borneo, beliau berkata jadual cuti penggal persekolahan bagi tahun 2018 yang dikeluarkan tidak seperti kebiasaanya yang diletakkan pada awal bulan Jun.

    “Cuti yang bermula pada minggu kedua adalah tidak wajar iaitu bermula dari 9 hingga 24 Jun kerana ia seperti tidak melihat kepada sambutan perayaan Hari Gawai Dayak yang jatuh pada 1 dan 2 Jun iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu.” katanya dipetik akhbar tersebut.

    Jelasnya, ia seolah-olah tidak ada cuti umum bagi sambutan perayaan Hari Gawai yang merupakan salah satu sambutan perayaan terbesar oleh penduduk majoriti negeri ini.

    Oleh yang demikian, ia akan menyukarkan ibu bapa terutamanya keluarga yang tinggal di luar Sarawak mengatur dan merancang perjalanan mereka untuk balik ke kampung menyambut perayaan tersebut kerana ia jatuh pada hari persekolahan.

    Mark turut kecewa dan merasa tidak puas hati dan menyifatkan ia adalah tidak menghiraukan sensitiviti perayaan kaum terbesar di negeri ini yang kita sedia maklum kerana perayaan Hari Gawai adalah salah satu perayaan dalam kalendar perayaan di Malaysia. - Sarawakiana
  • No Comment to " NGO Dayak Bantah Jadual Cuti Sekolah 2018 "