• Neymar Digantung, Terlepas Aksi Lawan Nice

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    PARIS: Neymar dikenakan hukuman gantung satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika PSG terikat 2-2 di Marseille, minggu lalu.

    Penyerang Brazil itu akan terlepas aksi Ligue 1 menentang Nice, esok, yang diperkuatkan kehadiran Mario Balotelli.

    Neymar menyumbat gol penyamaan yang hebat dalam pertembungan di Marseille, Ahad lalu sebelum pasukannya ketinggalan 2-1 dengan berbaki 10 minit permainan.

    Dalam usaha memburu gol penyamaan, Neymar kehilangan pertimbangan apabila mengutip dua kad kuning berturut-turut susulan tindakannya menanduk penyerang Argentina, Lucas Ocampos.

    Rakan sepasukannya, Edinson Cavani, menyamakan kedudukan dengan sepakan bebas dramatik ketika waktu kecederaan untuk menyelamatkan satu mata berharga buat pendahulu Ligue 1 itu.

    “Dia begitu bijak. Dia juga sedar dia perlu belajar daripada kesilapan ini.

    “Saya bercakap dengannya mengenai perkara ini sebelum perlawanan dan kami berjanji tidak akan terjebak dengan sebarang bentuk provokasi.

    “Tetapi dengan aksi yang berintensiti tinggi, dia gagal mengawal emosi,” kata jurulatih PSG, Unai Emery.

    Sejak tiba dari Barcelona, bintang Brazil termahal dunia itu sudah mencetak 10 gol dalam 11 perlawanan.

    Neymar turut diberi satu lagi hukuman gantung perlawanan yang akan aktif sekiranya dia dilayangkan sekali lagi kad merah pada musim ini.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Neymar Digantung, Terlepas Aksi Lawan Nice "