• Netizen Kutuk Penumpang Hisap Vape Dalam MRT

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    Bila anda menaiki atau menggunakan perkhidmatan awam, antara peringatan yang pasti tertera adalah DILARANG MEROKOK! Namun, tindakan seorang penumpang perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) pula sebaliknya, seolah tidak faham larangan tersebut.

    Gambar lelaki berkenaan yang dirakam sedang duduk dan selamba menghisap vape atau rokok elektronik dimuat naik di laman Facebook Rapid KL sehingga mencetuskan kritikan dalam kalangan netizen.

    Rapid KL sebelum ini memberi peringatan kepada penumpang yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan LRT, MRT, Monorel dan bas supaya tidak berkelakuan pelik dan melakukan tindakan negatif, jika tidak gambar mereka akan dipertontonkan di khalayak ramai sebagai memberi teguran.

    Menerusi kemaskini di laman Facebook semalam, Rapid KL secara sarkastik memuat naik gambar seorang penumpang lelaki yang disunting dengan gambaran sedang meraikan majlis hari jadi apabila lelaki itu dirakam menghisap vape di dalam MRT.

    Gambar yang dipercayai dirakam penumpang lain yang duduk di sebelah lelaki berkenaan menunjukkan penumpang itu yang memakai kemeja dan melihat telefon bimbit tidak mengendahkan keselesaan penumpang lain apabila menghisap peranti elektronik tersebut.

    “Jadi, terimalah hadiah tak seberapa dari kami di Rapid KL, detik-detik kemeriahan sambutan hari jadi di dalam MRT.

    “Kami cegah bersebab, keselamatan pengguna adalah paling penting. Kedua, keselesaan orang ramai. Abang ni terpaksa celebrate birthday (sambut hari lahir) dengan abam-abam Polis Bantuan kami dulu la nampaknya,” demikian tulis Rapid KL.

    Seorang pengguna Facebook berkata: “Aduh, pentingkan diri sendirinya. Kalau tak tahan sangat nak vape, vape dulu jangan naik (pengangkutan awam).”

    “Entah apa-apa perangai, dan terang-terang tempat tu dilarang merokok. Pandai tengok telefon bimbit, tapi tak pandai membaca papan tanda arahan,” tulis Ct Zaleha Zaini.

    Segelintir netizen juga mencadangkan supaya kerajaan menggenakan hukuman lebih berat kepada mana-mana individu atau pembekal perkhidmatan yang tidak mematuhi arahan merokok di tempat awam dan dalam pengangkutan awam.

    Semakan di laman sesawang Suruhanjya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), di bawah Seksyen 203 APAD, setiap kesalahan merokok di dalam kenderaan awam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya sekali.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Netizen Kutuk Penumpang Hisap Vape Dalam MRT "