• Netizen Kurang Setuju Tema Dipilih

    Published: Thursday, 12 October 2017
    A- A+

    KANGAR: Penganjuran Zombie Run mengundang kecaman netizen yang sebahagian besar kurang bersetuju tema yang dipilih.

    Pemilik facebook Mohd Yasin Ibnu Salam dalam statusnya, membantah penganjuran seumpama kerana menyifatkan masih ramai umat Islam di negara ini kurang arif isu agama terutamanya akidah.

    “Masih ada yang percaya bahawa orang yang sudah mati boleh bangkit kembali menjadi hantu, sedangkan orang mati hanya dibangkitkan pada hari kiamat. Tidak mustahil akan wujud kepercayaan zombie adalah hantu,” katanya.

    Menurutnya, malah masih ada kalangan masyarakat yang menjadikan sebuah teori dan cerita dongeng sebagai fakta, seperti kewujudan Duyung, Naga atau Segi Tiga Bermuda. Masih ramai juga tidak faham tentang bidaah kerana ada yang kaitkan Zombie Run dengan bidaah, padahal tiada kaitan langsung,” katanya.

    Tambahnya, jika dikatakan Tasyabbuh kerana menyerupai amalan orang kafir, kemungkinan ia hampir tepat.

    Azki Hafizi pula menyifatkan penganjuran larian itu tidak wajar kerana berunsurkan tahyul dan keganasan.

    “Sepatutnya agenda program tidak harus tersasar daripada amalan umat Islam dan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Pakaian berlumuran warna merah melambangkan darah, aksi seperti hantu; tahyul yang dicipta barat musuh Islam,” katanya.

    Menurutnya, amat dikesali kerana program itu turut melibatkan kanak-kanak.

    “Keganasan dengan aksi zombie yang ingin membinasakan manusia, ini bukan budaya kita, ia impak filem Barat yang berjaya diterjemahkan dalam larian tersebut. Cadangan saya, alangkah baiknya dianjurkan larian sambil berselawat kepada Rasulullah SAW atau larian zikir beramai ramai,” katanya.

    Sementara, Mohd Faizal dalam statusnya, beranggapan program ini menarik dan unik.

    “Marathon ada banyak style dan gayanya. Marathon dalam kampung, tepi bendang dan macam-macam termasuk Zombie Run. Saya yakin penganjur memilih tema ini semata-mata untuk menampakkan kelainan dan gaya tersendiri. Tidak ada niat menyamakan dengan budaya tahyul atau pengaruh budaya Barat,” katanya.

    - Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Netizen Kurang Setuju Tema Dipilih "