• Nanas Malaysia Mula Tembusi Pasaran China

    Published: Friday, 13 October 2017
    A- A+

    BATU PAHAT: Malaysia melakar sejarah baharu apabila mula mengeksport nanas ke China hari ini, selepas empat tahun cuba menembusi pasaran terbesar dunia itu.

    Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Mohd Anim Hosnan, berkata sebanyak 12 tan metrik atau 12,000 kilogram nanas daripada variati MD2 atau dikenali sebagai nanas madu di pasaran tempatan mula dieksport ke Shanghai sebagai kumpulan perintis nanas segar pertama.

    Katanya, nanas MD2 keluaran Malaysia diiktiraf sebagai nanas terbaik dunia berikutan rasanya yang manis serta warna keemasannya dan mendapat permintaan tinggi di negara luar termasuk China.

    "Eksport pertama nanas variati MD2 oleh pengedar tempatan, Syarikat Top Fruits Sdn Bhd yang berpangkalan di daerah ini dijangka tiba di Shanghai pada 23 Oktober depan.

    "Ia sekali gus mencatat sejarah baharu selepas kejayaan kita mengeksport durian Malaysia ke China tahun lalu, hari ini pula kita mula mengeksport nanas MD2 yang sememangnya mendapat permintaan tinggi penduduk dunia dan masyarakat tempatan.

    "Eksport nanas negara dijangka meningkat dua kali ganda kepada RM320 juta setahun menjelang tahun 2020, berikutan kejayaan menembusi pasaran China diiringi keupayaan industri untuk menambah kapasiti penanaman dan pemprosesan," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penghantaran 12 tan metrik nanas MD2 ke China di Parit Sulong, hari ini.

    Yang turut hadir, Setiausaha Bahagian Pemasaran dan Eksport Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr Hanisah Hussin.

    Mohd Anim berkata, kejayaan nanas segar negara menembusi pasaran China selepas kedua-dua negara menandatangani Protokol Keperluan Fitosanitasi pada Mei lalu.

    Protokol berkenaan ditandatangani ketika kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke negara itu, pada Mei lalu.

    Subjects:

  • No Comment to " Nanas Malaysia Mula Tembusi Pasaran China "