• Nak Jual Baju Atau Kempen Pasangan Sejenis?

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+


    PETALING JAYA: Beberapa gambar di laman sosial yang menunjukkan dua lelaki bermesraan bersama seorang bayi menimbulkan tanda tanya.

    Ada gambar mereka lengkap berbaju Melayu putih dan berkain samping songket, ada yang berkemeja corak batik dan yang paling menarik perhatian apabila terdapat gambar ‘pasangan’ itu bergaya tanpa baju sedang melayan bayi berkenaan.

    Apa yang menimbulkan tanda tanya netizen adalah keterangan gambar ‘I Love Daddy’ (Saya Sayang Ayah), sekali gus menggambarkan dua model lelaki tersebut sebagai bapa kepada bayi tersebut.

    “Nak tanya mana satu ayah, mana satu mak ni? Saya keliru,” soal seorang netizen mengenai gambar-gambar yang dimuat naik di sebuah akaun Instagram sejak Ahad.

    Malah, gambar-gambar model yang menggayakan koleksi baju keluaran seorang pereka fesyen tempatan itu didakwa lebih kelihatan seperti kempen perkahwinan sesama jenis.

    Namun terdapat cetusan pendapat yang melihat penggunaan bayi tersebut tidak bersesuaian kerana menyentuh sensitiviti budaya tempatan.

    Bercakap kepada mStar Online, pemilik koleksi tersebut, Rohaidi Hashim, 34, mendedahkan bahawa gambar-gambar itu sebenarnya dimuat naik sebagai langkah penjenamaan semula Eddymohaizz yang diusahakannya sejak lima tahun lalu.

    Mengakui ia sengaja dibuat untuk menjadikannya tular sebagai salah satu strategi pemasaran, Rohaidi berkata, konsep yang diketengahkan menunjukkan bahawa koleksinya menjadi ikutan pengguna lelaki muda sehingga lelaki yang sudah berkeluarga.

    Ditanya mengenai penggunaan bayi sebagai salah seorang model, dia memberitahu si cilik itu digunakan bagi menunjukkan bahawa pakaian tersebut dikeluarkan untuk kanak-kanak menerusi tempahan.

    “Koleksi pakaian saya sebelum ini lebih terkenal dalam kalangan anak-anak muda. Tapi lama-kelamaan lelaki yang sudah bergelar bapa dan berkeluarga turut berminat.

    “Ada bapa dan anak beli baju ni, ada juga yang belikan sebagai hadiah untuk anak atau ayah mereka. Sebab tu konsep penggambaran ini ada lelaki dewasa dan kanak-kanak,” katanya.

    Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan gaya tanpa baju itu sengaja dibuat untuk menarik perhatian ramai selain mahu menonjolkan koleksi seluar yang diperagakan model.

    "Sekarang ni semua nak lihat yang cantik. Jadi, saya guna model yang berpenampilan menarik termasuk yang berbadan sado (sasa),” katanya.

    Menurut Rohaidi, sesi fotografi itu pada awalnya melibatkan dua orang bayi bersama dua model lelaki tetapi pada saat akhir hanya seorang bayi digunakan.

    "Asalnya nak guna dua bayi, jadi setiap model lelaki akan dukung bayi. Tapi seorang lagi bayi asyik meragam dan menangis. Jadi, kita terpaksa teruskan sesi fotografi dengan seorang bayi saja,” katanya.

    Mengenai kecaman netizen, Rohaidi berkata ia terpulang kepada penerimaan masing-masing kerana konsep yang diketengahkannya adalah mengenai hubungan bapa dan anak.

    “Saya bukan menonjolkan gambar model dengan gaya yang keterlaluan seperti pasangan hubungan sejenis.

    “Kalau mereka faham konsep saya, ia akan dilihat dari perspektif bahawa koleksi ini sesuai untuk kaum lelaki seisi keluarga, dari kanak-kanak, lelaki muda sehingga kepada golongan bapa,” ujarnya. - Mstar

    Subjects:

  • No Comment to " Nak Jual Baju Atau Kempen Pasangan Sejenis? "