• Najib Sertai Kemeriahan Deepavali Di Little India

    Published: Wednesday, 18 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyertai kemeriahan majlis rumah terbuka Deepavali anjuran Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) di Little India, Brickfields di sini.

    Beliau yang diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tiba di majlis itu pada 11.45 pagi disambut Presiden MyPPP, Tan Sri M.Kayveas.

    Sejurus tiba, Perdana Menteri dibawa ke pentas dan dikalungkan bunga malai sebelum memotong kek dan kemudian dibawa menikmati hidangan antaranya nasi daun pisang, putu mayam dan kek.

    Majlis itu turut dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung pelbagai kaum selain pelancong asing yang mengambil kesempatan menikmati pelbagai hidangan yang sinonim dengan masyarakat India termasuk wade, popadom, payasam dan rasam.

    Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam di majlis itu sebelum beredar untuk ke program lain.

    Terdahulu, Kayveas yang ditemui media berkata, rakyat Malaysia amat beruntung kerana dapat meraikan perayaan keagamaan masing-masing dalam suasana harmoni dan tidak dicemari sebarang insiden tidak diingini.

    Katanya konsep kesamarataan yang diamalkan negara ini telah memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus kemajuan termasuk masyarakat India yang menjadi sebahagian daripada identiti perpaduan di negara ini.

    “Bagaimanapun, amat menyedihkan apabila wujud segelintir pihak yang cuba menangguk di air yang keruh, kononnya komuniti India sengaja disisihkan kerajaan dan tidak diberikan bantuan sewajarnya.

    “Tindakan cuba ‘mencucuk’ perpaduan antara kaum ini adalah ancaman yang sehingga kini cuba ditangani kerajaan, namun memerlukan kerjasama semua pihak supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan tuduhan membuta tuli,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Sertai Kemeriahan Deepavali Di Little India "