• Naib Presiden Ecuador Dipenjara Hingga Siasatan Selesai

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+


    QUITO - ECUADOR. Naib Presiden Ecuador, Jorge Glas terpaksa meringkuk dalam penjara Nombor 4 di sini pada malam Isnin selepas seorang hakim memerintahkan beliau dikenakan penahanan pencegahan bagi membolehkan para penyiasat menyelidik penglibatannya dalam skandal rasuah membabitkan syarikat pembinaan gergasi Brazil iaitu Odebrecht.

    Glas telah ditahan di kediamannya di Guayaquil, bandar terbesar di Ecuador, atas dakwaan menjadi sekutu jenayah, sebelum diterbangkan ke Quito dengan pesawat tentera.

    Beliau ditemani bapa saudaranya, Ricardo Rivera, yang turut ditahan atas dakwaan serupa.

    Ketika Glas tiba di penjara, penyokong parti berhaluan kiri PAIS Alliance telah berada di sana untuk menunjukkan kekaguman mereka yang berterusan terhadap beliau.

    Parti itu telah berpecah dua iaitu antara penyokong setia Glas serta bekas presiden Rafael Correa, dan penyokong Presiden Lenin Moreno.

    Walaupun Glas secara teknikal masih naib presiden, beliau telah digantung daripada jawatannya pada Ogos oleh Moreno selepas mengkritik dialog presiden itu dengan pembangkang.

    Sebelum ditahan di Guayaquil, Glas telah menyiarkan sebuah video di Twitter yang membantah kes terhadapnya dan menyifatkan dakwaan itu sebagai "tidak masuk akal."

    Glas telah menafikan sebarang pembabitan dengan Odebrecht, yang didakwa sering merasuah ahli politik di seluruh Amerika Latin untuk mendapatkan kontrak awam.

    Beliau juga telah bersumpah untuk membersihkan namanya, dan jika terpaksa, akan membawa kes itu ke mahkamah antarabangsa. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Naib Presiden Ecuador Dipenjara Hingga Siasatan Selesai "