• Nadiya, Aaron bakal cetus fenomena lagi

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pelakon, Nadiya Nisaa, gementar untuk kembali bergandingan dengan Aaron Aziz dalam kisah susulan Adam dan Hawa yang pernah mencetuskan fenomena di sebuah saluran berbayar, lima tahun lalu.

    Masing-masing bakal menghidupkan semula watak Ain Hawani dan Adam Mukhriz, bagaimanapun akan dihasilkan dalam bentuk supertelefilem berjudul Dekatnya Cinta.

    Diterbitkan sekali lagi oleh Global Station di bawah arahan Feroz Kadir, supertelefilem terbabit akan memulakan penggambarannya dalam masa terdekat.

    Pelakon Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia ke-24 itu berkata, biarpun agak berdebar melakonkan semula watak berkenaan, tetapi cukup teruja untuk kembali ke lokasi bersama aktor terbabit.

    "Saya akui agak gementar bergandingan semula dengan Aaron, maklumlah sudah lama kami tinggalkan cerita itu. Namun, saya juga teruja kerana ia dapat mengubat rindu peminat.

    "Pastinya ada sedikit perubahan apabila kini garis halus mungkin sudah kelihatan pada wajah saya dan Aaron," katanya berseloroh.

    Bercakap kepada BH Online, Nadiya yang sudah kira-kira sedekad berada dalam arena lakonan berkata, beliau tidak menyangka ada lagi kesinambungan drama itu.

    "Jujurnya, saya tidak tahu pun drama adaptasi terbabit akan mempunyai kisah susulannya. Ia tentu saja perkembangan positif buat pengikut setia drama itu dan pembaca novelnya.

    "Saya tidak menyangka Adam dan Hawa akan mencetuskan fenomena dan impaknya dirasai sehingga sekarang. Ada kalangan peminat yang masih bercakap mengenai drama itu apabila bertemu saya," katanya.

    Beliau berjanji melunaskan tanggungjawab melakonkan semula watak terbabit dengan sebaiknya.

    Pemenang kategori Pelakon Wanita Komedi Terbaik, Anugerah Lawak Warna 2015 menerusi filem Gila Baby itu juga percaya, gandingan keduanya bersama Aaron akan lebih mudah berikutan masing-masing semakin matang dalam kerjaya.

    "Sudah tentu kami akan lebih mudah berbincang kali ini. Dulu, ketika menjayakan Adam dan Hawa, saya memang gementar bergandingan dengannya kerana masih baharu.

    "Saya amat menghormatinya sebagai pelakon berpengalaman. Kini, pastinya semua akan berjalan dengan lebih santai. Tiada lagi rasa janggal antara kami," katanya.

    Supertelefilem Dekatnya Cinta dijangka menemui penonton pada tahun depan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Nadiya, Aaron bakal cetus fenomena lagi "