• Musang King Bakal Tembusi Pasaran China

    Published: Sunday, 29 October 2017
    A- A+


    RAUB – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasar durian Musang King segar tempatan untuk menembusi pasaran China dalam tempoh terdekat sekali gus bakal menjadikan negara itu sebagai negara pengimport terbesar buah tersebut.

    Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sebelum ini durian dari Malaysia memasuki pasaran negara itu menerusi negara ketiga termasuk Singapura dan Hong Kong dengan harga yang mencecah ratusan ringgit untuk setiap kilogram.

    “Kementerian bakal mengadakan satu program promosi durian di China pada 3 dan 5 Nov depan. Kita berharap acara itu akan menjadi platform untuk menembusi dan memperluaskan pasaran di negara tersebut selain produk hiliran berasaskan buah itu.

    “Sekiranya ia berlaku dan membuahkan kejayaan yang besar, ini akan membuka ruang kepada 800,000 pengusaha dan penanam durian di negara ini untuk melonjakkan pendapatan mereka sekali gus menjadikan durian sebagai sumber kekayaan baharu negara,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas majlis penanaman Musang King ke 500,000 di Kluster Durian Raub, di Kampung Pamah Rawa, Ulu Dong di sini hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Koperasi dan Kepenggunaan negeri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin dan Ketua Pengarah Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek.

    Pada masa sama, Ahmad Shabery juga meminta Jabatan Pertanian mempertingkatkan keupayaan teknologi dalam pengeluaran Musang King bagi memastikan buah yang dihasilkan bermutu tinggi dan menepati kehendak pasaran antarabangsa.

    Ia termasuk memperkenalkan penanda persijilan untuk setiap durian yang dieksport bagi memastikan pembeli mendapat maklumat yang tepat tentang gred dan tempat ia dikeluarkan.

    “Kita juga akan membangunkan satu aplikasi khas bagi menanda Musang King serta durian jenis lain yang dijangka siap Disember ini untuk kemudahan bagi mengeksport raja buah itu ke China dan negara lain pada masa akan datang.

    “Durian kini dianggap sumber kekayaan baharu maka kita perlu pastikan kualiti penanaman, pembungkusan, pelabelan dan pemasaran berada pada tahap tertinggi dan ia memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

    Ahmad Shabery berkata, hingga 2016 keluasan penanaman durian di seluruh negara ialah 66,000 hektar dengan pengeluaran sebanyak 302,000 metrik tan dan hingga kini terdapat sebanyak 204 jenis durian didaftarkan bawah Jabatan Pertanian.

    Di Raub sahaja terdapat 370 pengeluar dan penanam durian membabitkan keluasan tanaman 11,152.69 hektar di tujuh mukim di Batu Talam, Dong, Gali, Hulu Dong, Sega dan Semantan Hulu dan Tras. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Musang King Bakal Tembusi Pasaran China "