• MotoGP: Dovi, Marquez Menyerlah Latihan Bebas Kedua

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    SEPANG – Pesaing utama kejuaraan dunia, Andrea Dovizioso daripada pasukan Ducati dan Marc Marquez mewakili Repsol Honda, beraksi cemerlang menduduki dua tempat teratas pada sesi Latihan Bebas Kedua Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2017 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini.

    Juara saingan di Sepang tahun lepas, Dovizioso dari Itali berada di landasan terbaik untuk mengulangi pencapaiannya itu, selepas mencatat 2 minit 11.640 saat, lebih pantas berbanding pendahulu kejuaraan Motosikal Dunia, Marquez yang merekodkan 2:12.695s, dalam keadaan trek basah berikutan hujan petang tadi.

    Dovizioso juga cemerlang dalam perlumbaan di trek kering pada sesi latihan bebas pertama pagi tadi, dengan mencatat 2:00.671s, manakala Marquez yang mendahului kejuaraan tersebut dengan mengumpul 269 mata, hanya berada di kedudukan kelima perlumbaan kelas perdana itu dengan masa 2:01.060s.

    Pada saingan Moto2, adik Marc iaitu Alex Marquez daripada pasukan EG 0,0 Marc VDS mencatat masa terpantas sepusingan 2:24.074s, diikuti Lorenzo Baldassarri daripada Forward Racing Team (2:24.108s) dan Miguel Oliveira daripada Red Bull KTM Ajo (2:24.139s).

    Pelumba negara, Hafizh Syahrin yang mewakili Petronas Raceline Malaysia pula menamatkan saingan di tempat ke-18 (2:27.475s), manakala Khairul Idham Pawi daripada Idemitsu Honda Team Asia di kedudukan ke-21 (2:27.662s).

    Sementara itu dalam aksi Moto3, pelumba Sepanyol Aron Canet mewakili pasukan Estrella Galicia 0,0 muncul pelumba terpantas selepas mencatat 2:28.807s, diikuti Bo Bendsneyder daripada pasukan Red Bull KTM Ajo (2:29.321s), manakala pelumba Sky Racing Team VR46’s, Nicolo Bulega di tempat ketiga (2:29.361s).

    Dua pelumba Malaysia bersaing dalam kategori berkenaan mempamerkan prestasi terpuji apabila berada dalam kedudukan 10 teratas, selepas Adam Norrodin daripada SIC Racing Team menamatkan aksi di tempat keenam dengan masa 2:29.655s, manakala pelumba wildcard Kasma Daniel Kasmayudin mewakili Petronas Sprinta Racing di tempat kesembilan dengan catatan 2:29.776s.

    Adam yang mencatat masa kedua terpantas 2:13.409s pada sesi latihan bebas pertama, mengekalkan kedudukan kedua terbaik keseluruhan di belakang juara dunia, Joan Mir daripada Leopard Racing yang mencatat 2:13.129s, manakala Kasma Daniel di tempat ke-29 (2:16.430s).

    Sesi Latihan Bebas akan bersambung pagi esok, diikuti dengan sesi kelayakan pada sebelah petang, manakala perlumbaan kejuaraan dunia itu akan berlangsung petang Ahad. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " MotoGP: Dovi, Marquez Menyerlah Latihan Bebas Kedua "