• MKN Akan Selaras Bantuan Untuk Rohingya

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+



    COX’S BAZAR -- Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan bertindak menyelaraskan bantuan kemanusiaan yang mahu disalurkan kepada etnik Rohingya yang berada di kem-kem pelarian di Bangladesh, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Kata Timbalan Perdana Menteri dengan adanya MKN untuk menyelaraskan bantuan, beliau tidak fikir akan timbul kebimbangan bantuan itu tidak sampai kepada matlamatnya.

    “Ini bukan kali pertama lawatan saya ke kem pelarian. Saya telah pergi (kem pelarian) beberapa negara seperti tetapi keadaan di sini lebih daif.

    “Berikutan keadaan daif di sini (kem pelarian), saya menyeru rakyat Malaysia keseluruhannya agar sama-sama terus hulurkan bantuan. (Ketua Pengarah MKN) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan MKN akan koordinasi supaya bantuan sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.

    Ahmad Zahid berkata dengan adanya penyelarasan oleh MKN segala bantuan badan bukan kerajaan (NGO) dapat diselaraskan termasuk untuk membeli barang-barang keperluan.

    “Dari segi makanan saya tengok World Food Programme United Nations telah ada, dari segi perubatan IOM (Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran ) telah ada. Saya ucapkan terima kasih pemimpin-pemimpin NGO yang mengambil peduli dengan nasib pelarian Rohingya di sini,” katanya.

    Katanya kerajaan juga menggalakkan individu sama ada jururawat, doktor dan pembantu hospital untuk berdaftar dengan MKN bagi menyelaraskan kedatangan mereka ke Cox's Bazar ini untuk membantu.

    Ahmad Zahid berkata Malaysia merupakan antara negara terawal menghantar bantuan untuk pelarian Rohingya di Cox's Bazar khususnya di Kem Kutupalong dan telah sekurang-kurangnya tiga kali bantuan dalam bentuk makanan dan keperluan lain.

    “Malaysia komited untuk terus hantar bantuan-bantuan ini melalui MKN dan juga lima NGO terbesar yang telah berada di Cox's Bazar dan mereka akan terus memberikan bantuan.

    “Hari ini saya sendiri telah turun untuk memberi barangan yang diperlukan lima NGO ini. Bantuan bernilai US$100,000 (RM420,000) diberi oleh seorang dermawan dari Malaysia kepada NGO. Kita juga berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah membantu kita,” katanya.

    Sementara itu, pada majlis berasingan di South Kuthubdia, Timbalan Perdana Menteri menyampaikan sumbangan berjumlah 400,000 taka (RM20,463) bagi menyiapkan Masjid Baitul Sallah.

    Sumbangan itu merupakan projek di bawah program MyCorps, satu projek sukarelawan melibatkan belia-belia Malaysia.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " MKN Akan Selaras Bantuan Untuk Rohingya "